JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Anwar Yakin Kepakaran Datuk Bandar KL Baharu Mampu Perkukuh Agenda Pembangunan Ibu Negara

17/11/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kepakaran dan pengalaman Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Fadlun Mak Ujud akan memperkukuh pembangunan ibu kota menjadi kota raya global berdaya saing dan berdaya huni selaras nilai-nilai MADANI.

Dalam hantaran terkini di Facebook, Anwar yang menerima kunjungan hormat Fadlun berkata kesempatan itu diambil bagi membincangkan beberapa agenda besar demi masa depan ibu negara yang lebih maju dan berdaya saing.

“Antaranya ialah usaha memperkukuh projek River of Life, menetapkan hala tuju pembangunan bandar yang lebih terancang, kelulusan One Stop Centre (OSC) dipercepat serta memperbaiki ekosistem penjaja dan peniaga kecil supaya mereka terus diberi ruang, sokongan dan peluang yang adil dalam ekonomi bandar raya,” katanya.

Anwar turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Fadlun dalam meneruskan tugasan, selain meneruskan kesinambungan kerja baik bekas Datuk Bandar Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, dalam usaha mengangkat imej Kuala Lumpur ke tahap lebih gemilang dan disegani.

Fadlun yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa 15 Nov.

Sebelum pelantikan itu, beliau merupakan Presiden Perbadanan Putrajaya sejak tahun 2022 selain merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan