KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah meminta semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 supaya tidak memasang bahan kempen di kawasan berisiko mengganggu keselamatan jalan raya.
JKR Sabah dalam satu notis umum malam ini memberitahu larangan itu meliputi kawasan bulatan, bukaan median jalan, simpang, lintasan pejalan kaki serta tiang lampu isyarat.
Notis itu memaklumkan pemasangan bahan kempen seperti bendera, sepanduk, poster dan apa sahaja bahan berkaitan di lokasi berkenaan boleh menghadkan penglihatan pemandu dan meningkatkan risiko kemalangan.
“Tindakan ini penting untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap optimum sepanjang tempoh kempen PRN Sabah ke-17. Bahan kempen yang sudah dipasang di kawasan terbabit perlu dialihkan dengan segera bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” menurut notis itu.
JKR juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjaga keselamatan serta kelancaran trafik di seluruh negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial