KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Status terkini pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 melalui lima teras yang digariskan akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) akan mengajukan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi soal jawab lisan pula, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) meminta Menteri Digital menyatakan sama ada kementerian bercadang mewujudkan satu super aplikasi yang merangkumi semua aplikasi agensi kerajaan seperti MyBorderPass dan MyJPJ yang hanya boleh diakses melalui MyDigital ID.
Selain itu, Zakri Hassan (PN-Kangar) bertanya kepada Menteri Pendidikan mengenai langkah kementerian memperkukuh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah menengah dan kolej vokasional supaya selari dengan keperluan industri semasa khususnya dalam bidang teknologi hijau dan digital.
Datuk Seri M. Saravanan (BN-Tapah) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah konkrit kementerian memastikan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diwajibkan dan dipotong secara automatik bagi pekerja gig oleh penyedia platform, serta bagaimana mekanisme penguatkuasaan akan dilaksanakan untuk memastikan kepatuhan.
Sementara itu, dua rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu RUU Kewangan 2025 serta RUU Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan menyambung semula perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial