JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Berita-Berita Ringkas Dewan Rakyat: 20 Nov

20/11/2025 06:05 PM

 

KKM KOMPAUN HAMPIR RM120 JUTA ATAS PENJUALAN UBAT, KOSMETIK TIDAK BERDAFTAR

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenakan kompaun hampir RM120 juta melibatkan kesalahan penjualan ubat-ubatan dan produk kosmetik yang tidak berdaftar.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata KKM sentiasa melaksanakan langkah preventif bagi menangani penjualan ubat-ubatan yang tidak sah termasuk di platform e-dagang.

“Langkah ini termasuk sesi libat urus dengan pengendali platform bagi memastikan iklan ubat diturunkan dan tiada penstriman langsung promosi ubat penurunan berat badan atau kecantikan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai langkah penguatkuasan KKM terhadap penjualan ubat-ubatan dan produk kosmetik tidak berdaftar yang dijual di platform dalam talian.

-- BERNAMA

 

KDN TELITI PERKETAT UNDANG-UNDANG KESALAHAN KIBAR JALUR GEMILANG

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia meneliti keperluan memperketat undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan mengibarkan bendera bagi mengekalkan kedaulatan dan maruah Jalur Gemilang.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kini kesalahan tersebut ditentukan di bawah Akta Lambang dan Negara (Pencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta undang-undang berkaitan.

“Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia, 22 kes melibatkan pemasangan bendera secara salah atau terbalik disiasat di seluruh negara sejak 2022 hingga tahun ini,” katanya menjawab soalan Wan Razali  Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai berapakah kes pemasangan bendera Malaysia secara salah atau terbalik dan tindakan diambil bagi tempoh 2022 hingga 2025.

Shamsul Anuar menegaskan setiap tindakan undang-undang dijalankan sama rata, berlandaskan undang-undang dan bebas daripada campur tangan politik.

-- BERNAMA

 

AHLI PARLIMEN KL KEMUKA RUU PERSENDIRIAN PINDA AKTA IBU KOTA PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Ahli Parlimen penyokong kerajaan di Kuala Lumpur mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Perkara itu dimaklumkan pada sidang media yang disertai Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Teresa Kok Suh Sim (Seputeh), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Tan Kok Wai (Cheras) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Nik Nazmi berkata RUU itu turut disokong Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Beliau berkata cadangan pindaan itu bertujuan melaksanakan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Ogos 2025 bagi reformasi tadbir urus Kuala Lumpur daripada kuasa mutlak seorang Datuk Bandar kepada sistem Ahli Majlis.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan