JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

19 Depoh Mini Perkukuh Kesiapsiagaan Banjir Di Kelantan

20/11/2025 10:22 PM

KOTA BHARU, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 19 depoh mini penyimpanan barang bantuan telah mula beroperasi di seluruh jajahan di Kelantan, disokong 180 pangkalan hadapan yang diwujudkan tahun ini, sebagai usaha kerajaan negeri memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.

Langkah itu bertujuan memastikan bekalan asas di semua pusat pemindahan sementara (PPS) berada pada tahap optimum serta memastikan penghantaran bantuan tidak terganggu ketika banjir berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Rohani Ibrahim, berkata jumlah pangkalan hadapan meningkat berbanding 160 lokasi tahun lepas bagi memastikan kesinambungan penghantaran bekalan.

Beliau berkata proses penghantaran bekalan ke semua lokasi telah dimulakan sebulan lalu dan kini selesai sepenuhnya, merangkumi stok makanan basah dan kering, makanan retort, gula, garam, selimut serta pelbagai peralatan keperluan asas untuk menampung mangsa banjir pada bila-bila masa.

“Peruntukan keseluruhan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi persediaan banjir tahun ini mencecah RM3 juta, meliputi penyediaan makanan, kelengkapan asas dan sokongan logistik di PPS seluruh Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Khas Taska Swasta 2025 di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Rohani berkata di peringkat negeri terdapat satu depoh utama, manakala di peringkat jajahan, depoh mini berbentuk kontena berfungsi menampung bekalan kecemasan dan membekalkan pangkalan hadapan berhampiran PPS.

“Kita belajar daripada pengalaman tahun lalu. Untuk kawasan bermasalah, kita tambah baik pengurusan termasuk penyediaan senarai petugas, suntikan tifoid kepada tukang masak PPS serta penjadualan sukarelawan, dengan 10 hingga 15 petugas dapur ditempatkan di setiap PPS bersama saguhati disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau menambah kerajaan negeri turut menyediakan laluan alternatif di kawasan berisiko tinggi, termasuk Kalbok 5, Rantau Panjang serta pembukaan akses sementara di Tanah Merah, bagi memastikan penghantaran bekalan dapat diteruskan sekiranya jalan utama terputus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan