JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Anwar Tunai Solat Jumaat, Ramah Mesra Dengan Jawatankuasa Masjid, Jemaah Di Masjid Houghton

21/11/2025 09:04 PM

Daripada Saraswathi Muniappan

JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama delegasi Malaysia di Masjid Houghton, Johannesburg, Afrika Selatan.

“Saya juga sempat beramah mesra dengan pihak jawatankuasa masjid serta para jemaah yang menyambut kami dengan penuh adab, hormat dan ukhuwah.

“Keakraban sebegini mengingatkan kita bahawa Islam sentiasa menyeru kepada kebaikan, kasih sayang dan persaudaraan merentasi sempadan bangsa dan negara,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan selepas solat Jumaat, di sini.

Sebagai tanda penghargaan, Anwar turut menyampaikan senaskhah al-Quran cetakan khas, serta 24 lagi naskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris untuk kegunaan dan rujukan komuniti Islam di sana.

“Setinggi-tinggi penghargaan buat saudara-saudara kita atas layanan yang begitu baik kepada saya dan delegasi Malaysia.

“Semoga hubungan ini terus diperkukuh atas dasar kebaikan, ihsan dan keindahan ajaran Islam yang kita junjung bersama,” kata beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri turut bertemu pimpinan Islam Afrika Selatan.

Dalam sesi libat urus berkenaan, antara perkara yang dibincangkan ialah potensi kerjasama dalam bidang halal, termasuk pembangunan pensijilan halal serta pembangunan kapasiti yang mampu memberi nilai tambah kepada komuniti Islam setempat.

Anwar kini berada di Johannesburg dalam rangka lawatan kerja empat hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) atas jemputan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dan atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan