JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Banjir Hat Yai: Perkhidmatan Tren Padang Besar-Hat Yai Dihentikan Sementara

23/11/2025 03:18 PM

PADANG BESAR, 23 Nov -- Perkhidmatan tren dari Padang Besar ke Hat Yai dihentikan sementara sejak Jumaat lepas berikutan banjir yang melanda kawasan selatan Thailand.

Eksekutif Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar Mohamad Faris Che Lah berkata laluan dari Padang Besar ke Hat Yai ditutup selepas paras air di kawasan berhampiran Stesen Khlong Ngae di Sadao, Wilayah Songkhla mula meningkat dan menjejaskan keselamatan operasi.

“Laluan Padang Besar ke Hat Yai masih ditutup sebagai reaksi kepada situasi banjir di Thailand. Ia ditutup bermula 21 Nov selepas banjir mula naik di kawasan Sadao berdekatan Stesen Khlong Ngae,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Faris berkata pembukaan semula perkhidmatan tren melibatkan laluan itu hanya akan dibuat selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya dan disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Stesen KTMB dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar hari ini mendapati keadaan agak lengang dengan kelihatan tidak ramai pengunjung keluar masuk susulan cuaca hujan dan situasi banjir di Hat Yai.

Pengusaha kedai makan di sekitar Stesen KTMB Padang Besar itu Mohd Nasser Mohd Talib, 56, berkata keadaan pengunjung yang berkurangan itu memberi kesan ketara kepada perniagaannya yang sering menerima jumlah pelanggan yang tinggi setiap hujung minggu.

“Perjalanan tren ke Hat Yai telah ditutup sejak dua hari lepas. Biasanya ramai orang singgah makan sebelum masuk ke Thailand, tetapi minggu ini jatuh mendadak. Saya boleh kata anggaran dalam 10 peratus sahaja pelanggan ada, 90 peratus kurang berbanding minggu lepas,” katanya.

Mohd Nasser berkata kawasan stesen kereta api itu juga kelihatan lengang berbanding kebiasaan.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hat Yai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir yang sedang melanda bandar raya itu, bagaimanapun semuanya dilaporkan selamat menurut Kementerian Luar Malaysia.

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla juga menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu ketika ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dipetik dalam kenyataan semalam berkata kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.

Ahmad Fahmi turut memaklumkan untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pegawai bertugas di talian +66 81 990 1930 atau melalui e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan