JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Banjir: USM Sedia Slot Khas Konvokesyen Untuk Graduan Terkandas

24/11/2025 05:35 PM

GEORGE TOWN, 24 Nov (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia menyediakan slot khas konvokesyen pada tahun depan sekiranya terdapat graduan yang tidak dapat hadir ke Upacara Konvokesyen ke-63 bermula esok akibat terkandas dalam bencana banjir.

Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata pihak universiti tidak menerima sebarang maklumat tentang graduan yang terhalang daripada menghadiri majlis berkenaan akibat banjir, termasuk graduan di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Kelantan.

"Setakat ini, tiada pelajar yang membuat aduan berhubung perkara tersebut, namun jika ada graduan yang tidak dapat datang ke upacara konvokesyen kali ini kerana bencana banjir, mereka boleh maklumkan kepada pihak USM," katanya pada sidang media khas Upacara Konvokesyen ke-63 USM di sini hari ini.

Beliau berkata USM memantau rapi situasi banjir secara berterusan bagi memastikan keselamatan warga kampus dan kelancaran operasi universiti serta Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian yang mempunyai lebih 4,000 pelajar juga berada dalam keadaan terkawal, setakat ini.

Abdul Rahman berkata Hospital Pakar USM (HPUSM) di kampus itu juga berperanan membantu hospital lain sekiranya terdapat pemindahan pesakit akibat banjir yang melanda di Kelantan.

"Berdasarkan pengalaman kita sebelum ini, tidak pernah lagi banjir di kampus itu, kemungkinan staf dan sebagainya ada yang terjejas berikutan banjir di rumah mereka atau laluan nak ke kampus tersebut, kita ambil maklum dan lakukan pelan tindakan seperti bekerja dari rumah," katanya.

Upacara Konvokesyen ke-63 USM berlangsung esok hingga 2 Dis di Dewan Tunku Syed Putra, USM dengan 9,347 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk seorang Ijazah Kehormat, ijazah tertinggi, iaitu PhD sebanyak 865 orang, sarjana (3,501 orang), ijazah sarjana muda (4,934 orang) dan Diploma Kejururawatan (47 orang).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan