JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

SPRM Syor Penambahbaikan Tatakelola JKM Terengganu

24/11/2025 06:00 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan 12 cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu berhubung pengurusan Bantuan Membaiki Rumah (BMR).

SPRM Terengganu dalam kenyataan berkata cadangan penambahbaikan yang dibentangkan itu adalah berdasarkan Laporan Penyiasatan Tatakelola berhubung tatacara pengurusan BMR oleh JKM Terengganu pada 2024.

Menurut kenyataan itu, penambahbaikan dicadangkan antaranya adalah menyediakan garis panduan berkaitan pengurusan dan pembayaran BMR, menyediakan borang senarai semak dokumen sokongan BMR, menyediakan surat pemakluman kelulusan permohonan BMR dan menyediakan format surat arahan pembayaran BMR serta borang pengesahan akuan siap kerja.

Kesemua syor berkenaan telah dibentangkan oleh Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid kepada Pengarah JKM Terengganu Mazura Ngah Abd Manan pada Majlis Menandatangani Persetujuan Cadangan Penambahbaikan Tatakelola di Bilik Mesyuarat Utama SPRM Terengganu di sini hari ini.

Sementara itu, Mazura berkata pihaknya menyambut baik cadangan penambahbaikan dan bersetuju untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang ditemui.

Hazrul Shazreen berkata cadangan itu bertujuan untuk memastikan amalan tadbir urus kewangan yang lebih telus, bertanggungjawab dan seragam sekali gus menutup ruang serta peluang amalan rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan