JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Banjir: Penduduk Di Kawasan Berisiko Diingatkan Berwaspada, Patuh Arahan - PM Anwar

24/11/2025 11:07 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Biarpun berada jauh di Kenya untuk lawatan tiga negara di benua Afrika, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap prihatin dengan keadaan banjir yang semakin memburuk sehingga menjejaskan tujuh negeri melibatkan lebih 15,000 mangsa ketika ini.

Anwar menerusi catatan di Facebooknya mengingatkan penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa terutama apabila diminta segera berpindah selain menjadikan keselamatan keluarga sebagai keutamaan.

“Menurut laporan yang saya diterima, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama semua aset agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap, di samping memastikan bantuan segera sampai kepada semua mangsa.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan, serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepat operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan,” katanya.

Pada masa sama, katanya kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan MADANI ke semua kawasan terjejas untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa banjir di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di tujuh negeri.

Beliau turut mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan dan dilindungi daripada sebarang kemudaratan serta dipermudahkan dalam menghadapi ujian tersebut. 

Kelantan merupakan negeri paling terjejas dengan mangsa dilaporkan hampir mencecah 10,000 orang malam ini, diikuti Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan