JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerap Dilanda Banjir, KAFA Sungai Serai Perlu Penyelesaian Jangka Panjang - Ketua Guru

25/11/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kekerapan banjir sejak awal tahun menimbulkan kebimbangan serius kepada warga Sekolah KAFA Integrasi Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor apabila kejadian pagi semalam mencatat paras air setinggi dada, sekali gus menjadi banjir terburuk tahun ini.

Ketua guru sekolah itu, Martini Mohamad Saleh, 51, berkata kawasan sekolah telah dilanda banjir lebih enam hingga tujuh kali setakat tahun ini dan kejadian semalam menunjukkan risiko banjir semakin meningkat.

Beliau berkata air mula dikesan memenuhi longkang kira-kira 7 pagi sebelum naik hingga paras buku lali dalam tempoh sejam dan menenggelami kawasan sekolah menjelang 9 pagi.

“Bagaimanapun keadaan sedikit melegakan kerana sesi pembelajaran sekolah bermula pada sebelah petang dan tiada murid berada di kawasan sekolah ketika air naik dengan cepat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sekolah yang dibina antara 1998 dan 1999 itu menempatkan 109 murid serta tujuh guru, namun infrastruktur sedia ada tidak lagi mampu menampung kekerapan banjir yang semakin kerap.

Martini berkata kejadian terbaharu menyebabkan kerosakan ketara pada meja, kerusi, barang-barang sekolah dan pendawaian, dengan lumpur memenuhi hampir semua kelas.

Beliau berkata sekolah itu hanya mempunyai satu bangunan utama dan sebuah bangunan tambahan yang dibina sendiri oleh pihak sekolah bagi menampung keperluan kelas.

Sehubungan dengan itu, katanya pihak sekolah berharap kerajaan dapat meneliti keperluan menaik taraf sistem saliran, membina kemudahan yang lebih tahan banjir dan memasang pili bomba baharu, selain menyediakan bekalan air mencukupi untuk kerja pembersihan.

“Banjir yang kerap berlaku memberi kesan besar kepada operasi dan persekitaran pembelajaran. Kami amat perlukan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Bagi membantu operasi pascabanjir, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) turut dikerahkan ke kawasan sekolah bagi menjalankan kerja pembersihan lumpur tebal.

Pegawai Penjaga Trup 1A FRU Kuala Lumpur ASP Zasali Yunus berkata pihaknya menggerakkan 50 anggota dan sebuah meriam air selepas menerima arahan pada 9 pagi semalam.

Beliau berkata operasi pembersihan berdepan cabaran apabila ketiadaan pili bomba berhampiran, menyebabkan meriam air perlu diisi semula di lokasi kira-kira dua kilometer dari sekolah sebelum pembersihan dapat diteruskan.

Penduduk kampung dan guru, katanya turut membantu mengangkat perabot, membersihkan lumpur serta mengeluarkan barang yang rosak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan