JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Lapan Depoh Barangan Keperluan Bencana Di Seluruh Negara - JKM

25/11/2025 09:00 PM

PARIT BUNTAR, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak lapan depoh barangan keperluan bencana disediakan di beberapa negeri sebagai tempat penyimpanan bekalan termasuk makanan bagi kawasan yang terputus hubungan apabila dilanda sebarang bencana.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata kesemua lapan depoh itu terletak di Bedong, Kedah; Muar, Johor; Sungai Buloh, Selangor; Marang, Terengganu; Kemumin Pengkalan Chepa, Kelantan; Kuantan, Pahang; Kota Samarahan, Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah.

Beliau berkata JKM turut menyediakan 11 stor negeri dan 119 stor daerah, 65 mini depoh dan 562 pangkalan hadapan di seluruh negara.

"JKM mempunyai 5,789 pegawai dan kakitangan yang ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara selain 5,744 sukarelawan JKM turut ditempatkan di PPS.

"Pada masa kini, banyak negeri telah membuka PPS untuk menempatkan mangsa banjir dan saya juga telah menghubungi setiap pengarah (JKM) negeri (terjejas banjir) untuk mendapatkan maklumat terkini dan sehingga kini keadaan di kesemua PPS yang beroperasi adalah terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup Pantuk Tirai @ Program Kampung Angkat MADANI di Dewan PDT Taman Sri Tenggara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Che Murad Sayang berkata JKM menerima 50,000 unit makanan dalam pek (retort) yang disediakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diedarkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

"Dalam tempoh 24 jam selepas PPS dibuka, kita akan sampaikan bekalan makanan dalam pek terlebih dahulu sebelum kita menggerakkan aktiviti gotong-royong bagi penyediaan makanan untuk mangsa banjir,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan