KANGAR, 26 Nov (Bernama) -- Wartawan sambilan Astro Awani di Perlis Mohamad Asri Shafii ditemukan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Jalan Behor Pulai, di sini pada 7.20 pagi tadi selepas dikatakan menolak keretanya yang terkandas dalam banjir.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata hasil temu bual dengan saksi di tempat kejadian mendapati Mohamad Asri sedang melalui Jalan Behor dan kereta jenis Honda City yang dinaikinya terkandas dalam banjir.
"Kemudian, dia telah keluar untuk menolak keretanya sebelum rebah di atas jalan raya. Orang awam yang berada di tempat kejadian telah menolong Mohamad Asri dan diletakkan di bahu jalan yang ketika itu mendapati dia tidak lagi bernafas.
"Orang awam di tempat kejadian telah menelefon polis untuk meminta bantuan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Asri, 49, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam bencana banjir di Hat Yai, Thailand, dipercayai akibat serangan jantung.
Yusharifuddin berkata pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pergi ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini untuk proses selanjutnya.
Beliau berkata hasil semakan rekod perubatan, wakil Astro Awani itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan telah melakukan pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2011 sebelum dimasukkan sekali lagi ke hospital akibat komplikasi jantung pada 2014.
"Dia dibekalkan dengan pelbagai jenis ubat yang memerlukannya mengambil ubat tersebut setiap hari," katanya.
Yusharifuddin berkata hasil rakaman percakapan dengan isteri arwah, Norhanani Ahmad, 48, Mohamad Asri sepatutnya pulang ke rumah hari ini selepas membuat liputan banjir di Hat Yai.
Sementara itu, anak ketiga daripada enam beradik Mohamad Arif Aqel, 16, berkata arwah bapanya sempat menghantar pesanan ringkas memintanya tidur menerusi aplikasi WhatsApp pada 2 pagi tadi setelah bertanyakan keberadaan bapanya ketika itu.
"Saya tidak menyangka ayah akan pergi buat selama-lamanya kerana dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap … dia juga maklumkan akan pulang ke rumah di Taman Seri Pulai, di sini selepas selesai tugasan di Hat Yai, menerusi aplikasi WhatsApp," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HTF hari ini.
Mohamad Arif Aqel berkata keluarganya dimaklumkan tentang kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi oleh penduduk di taman perumahan berkenaan sebelum mengetahui bahawa kenderaan dinaiki arwah bapanya terperangkap dalam banjir ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Mohamad Asri meninggalkan isteri, Norhanani dan enam anak berumur 11 hingga 20 tahun dan ada antara mereka yang sedang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor dan Kolej Pertanian, Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Beliau pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial