JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Rumah Rakit Jadi ‘Talian Hayat’ Penduduk Rantau Panjang Hadapi Banjir

26/11/2025 08:15 PM

PASIR MAS, 26 Nov (Bernama) -- Penduduk di kawasan penempatan rendah sekitar Rantau Panjang kini bergantung kepada rumah rakit sebagai ‘talian hayat’ untuk menyelamatkan barangan penting apabila banjir melanda.

Penduduk Kampung Tersang Norihan Mohd Nor, 39, berkata rumah rakit yang diterimanya daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tahun lepas itu dibina menggunakan kayu ringan dan tong dram, sekali gus memudahkannya mengalihkan barangan apabila air mula naik.

“Setakat ini, barangan penting termasuk peralatan elektronik telah dibungkus dengan plastik sebelum diletakkan di atas rumah rakit. Ia sangat membantu kerana kami boleh menyelamatkan barang terlebih dahulu sebelum berpindah.

“Petang tadi, saya dan keluarga berpindah ke rumah kakak sulung di Kampung Kubang Dapat kerana air semakin meningkat. Saya tidak mahu mengambil risiko berpindah ketika arus deras,” katanya kepada Bernama di Kampung Tersang di sini.

Sementara itu, Penghulu Mukim Lubuk Gong Muhammad Arifin Ismail, 63, berkata sebanyak 70 rumah rakit telah diagihkan kepada tujuh kampung di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Beliau berkata setiap rumah rakit boleh digunakan sehingga enam keluarga dan agihan dibuat kepada penduduk Kampung Meranti, Kampung Serongga, Kampung Tasek Bakong, Kampung Kusar Dalam, Kampung Tersang, Kampung Lubuk Gong dan Tasek Permai.

“Penduduk lazimnya akan meletakkan barangan penting di atas rumah rakit. Saya juga menasihati anak-anak mukim supaya berpindah lebih awal bagi mengelakkan perpindahan pada waktu malam ketika arus deras, yang boleh menyukarkan pasukan penyelamat serta meningkatkan risiko keselamatan,” katanya.

Tinjauan Bernama hari ini turut mendapati penduduk di beberapa kawasan rendah termasuk Kampung Gual Tok Deh dan Kampung Padang Licin telah memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi, selain mengalihkan ternakan seperti lembu ke lokasi selamat.

Jabatan Penerangan Negeri Kelantan juga dilihat membuat pengumuman keselamatan serta mengingatkan penduduk untuk berpindah lebih awal demi mengelakkan risiko banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan