JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kelantan Tekad Perkukuh Budaya Integriti Demi Tadbir Urus Berprestasi Tinggi

26/11/2025 09:35 PM

KOTA BHARU, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menzahirkan harapan agar pembudayaan integriti berasaskan nilai moral, etika dan tanggungjawab dalam kalangan penjawat awam serta masyarakat mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri itu pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata usaha memperkukuh integriti menjadi tunjang utama dalam melahirkan warga pentadbiran dan rakyat yang bukan sahaja beramanah tetapi cekap dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata pendekatan itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan sistem tadbir urus sentiasa berada pada tahap terbaik dan bebas daripada sebarang salah guna kuasa.

“Kerajaan negeri menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku agensi peneraju dalam memperbaiki aspek pengurusan pentadbiran melalui pembangunan sistem pemantauan dalaman dan pematuhan tatakelola yang lebih efektif, sejajar dengan prosedur ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu semalam, berlangsung Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Program anjuran Bahagian Integriti dan Tadbir Urus, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu dihadiri 300 orang terdiri daripada ketua jabatan dan penjawat awam negeri. 

Pada majlis sama, buat julung kalinya Anugerah Perlaksanaan Inisiatif Tatakelola Baik diperkenal dan diberikan kepada agensi serta jabatan yang berjaya melaksanakan semua syor penambahbaikan tatakelola dikemukakan oleh SPRM Kelantan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan