KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kelantan kekal mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi dengan lebih 11,000 orang setakat malam ini, manakala Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis turut merekodkan peningkatan ketara dan Pahang tidak berubah.
Di KELANTAN, mangsa banjir terus meningkat kepada 11,120 orang daripada 4,188 keluarga berbanding 10,578 orang daripada 4,016 keluarga petang tadi.
Berdasarkan laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 66 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.
Laman web Infopublic Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Galas di Limau Kasturi kekal melepasi tahap bahaya setakat 8.30 malam.
Seorang wanita warga emas, Siti Gayah Zakaria, 70, menjadi korban bencana itu selepas dihanyutkan air deras di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok, Tanah Merah awal pagi tadi.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus bertambah kepada 5,424 orang daripada 1,686 keluarga berbanding 4,739 orang daripada 1,469 keluarga petang tadi yang berlindung di 44 PPS.
Lapan daerah terjejas ialah Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Larut Matang dan Selama, Muallim dan Batang Padang.
Manjung kekal jumlah mangsa tertinggi dengan 1,983 orang daripada 588 keluarga masih ditempatkan di 16 PPS, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak.
Di KEDAH, angka penduduk dipindahkan ke PPS meningkat kepada 4,142 orang daripada 1,414 keluarga, berbanding 3,101 orang daripada 1,058 keluarga, petang tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena itu ditempatkan di 21 PPS.
Kubang Pasu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 2,435 orang daripada 897 keluarga ditempatkan di 15 PPS manakala di Kota Setar, sebanyak 1,562 orang daripada 470 keluarga ditempatkan di lima PPS.
Di daerah Pokok Sena, sebanyak 145 orang daripada 47 keluarga ditempatkan di satu PPS yang baharu dibuka pagi tadi.
Di TERENGGANU, hujan berterusan sepanjang hari menyebabkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,233 orang daripada 1,050 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 2,525 orang daripada 800 keluarga pada 3 petang tadi.
Sebanyak 39 PPS dibuka yang menempatkan mangsa banjir di enam daerah iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Dungun.
Di PERLIS, mangsa banjir semakin bertambah menjadi 6,627 orang setakat malam ini berbanding 6,370 orang pada sebelah petang tadi.
Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 21 PPS bagi kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar setakat 8 malam ini.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lapan keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial