JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Gaji Permulaan Guru CoS Diserap Tetap Tertakluk Peraturan, Pengalaman Selepas Peroleh Ikhtisas

26/11/2025 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Penetapan gaji permulaan bagi guru lantikan tetap daripada lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) adalah terikat kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 yang hanya mengambil kira pengalaman selepas mereka memperoleh kelayakan ikhtisas pendidikan bagi tujuan penyelarasan gaji.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata peraturan berkaitan urusan gaji dan lantikan itu berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan sebarang permohonan penyelarasan gaji hanya boleh dipertimbangkan berdasarkan pengalaman yang diiktiraf mengikut ketetapan skim perkhidmatan.

Dalam kes guru CoS, beliau berkata tempoh sebelum kelayakan ikhtisas diperoleh tidak boleh digunakan untuk tujuan penetapan gaji permulaan ketika mereka diserap ke jawatan tetap walaupun ketika berkhidmat kontrak mereka menikmati kenaikan gaji tahunan.

“SPP selaku pihak berkuasa melantik bagi perkhidmatan pendidikan telah memutuskan pada Februari 2020 bahawa semua calon yang dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 atau DG9 yang belum mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan hendaklah ditemu duga semula untuk lantikan tetap setelah memperolehi kelayakan itu.

“Apabila mereka masuk sebagai guru CoS (mereka) tak ada sijil ikhtisas. Apabila sijil ikhtisas itu diperolehi, maka kita akan panggil untuk temu duga dan majoriti akan diserap dalam sistem kita,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab usul Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai isu penetapan gaji permulaan bagi guru CoS yang ditawarkan ke jawatan tetap kerana terdapat penurunan gaji selepas mereka mendapat jawatan tetap.

Wong berkata skim CoS diperkenalkan pada 2019 sebagai mekanisme untuk membolehkan individu yang belum memiliki ikhtisas berkhidmat di sekolah dan seterusnya mengikuti latihan profesional di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata skim itu hanya berfungsi sebagai laluan masuk sementara bagi memenuhi kekosongan guru serta menyediakan peluang kepada calon tanpa kelayakan pendidikan untuk mendapatkan ikhtisas sambil bergaji.

Walaupun terdapat keluhan ramai guru mengenai penurunan gaji selepas memperoleh kelayakan ikhtisas, kebajikan guru, katanya sentiasa diberi perhatian dan peluang yang dibuka melalui skim CoS, termasuk jaminan tempat pengajian ikhtisas di IPG dan kemungkinan besar diserap ke lantikan tetap merupakan ruang yang tidak tersedia sebelum 2019.

Beliau berkata kementerian juga mengambil langkah penambahbaikan termasuk penetapan gaji minimum lebih tinggi bagi skim DG9 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta penambahbaikan kemudahan untuk pegawai kontrak melalui pekeliling sumber manusia berkaitan.

“… kita perlu mengimbangkan dari segi semua permintaan atau pertimbangan daripada pelbagai pihak. Guru CoS kita jaga, guru lantikan tetap pun kita jaga. Guru di bawah SSPA kita jaga, guru di bawah SSM (Skim Saraan Malaysia) dulu pun kita jaga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan