JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PRN: Lebih 8,000 Polis Dikerah Bantu Kelancaran Pengundian Di Seluruh Sabah

27/11/2025 02:58 PM

KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Lebih 8,000 anggota polis telah diatur gerak ke seluruh negeri hari ini, bagi memastikan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata anggota yang diatur gerak akan membantu pasukan sedia ada di setiap daerah, bagi mengawal proses pengundian dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Pada masa sama, beliau menasihati semua anggota yang terlibat supaya melaksanakan tugas dengan penuh disiplin dan tahap profesionalisme tinggi demi menjaga nama baik pasukan.

“Saya menasihatkan mereka agar sentiasa menjaga kesihatan, elak daripada melakukan aktiviti yang salah seperti mengambil alkohol semasa, sedang atau selepas bertugas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat dalam majlis pelepasan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Selain itu, Jauteh turut menasihati orang ramai yang pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi agar memandu secara berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya.

-- LAGI

 

PRN-POLIS 2 (AKHIR) KOTA KINABALU

 

“Saya jangkakan bermula tengah hari esok banyak pergerakan kenderaan untuk balik ke kawasan masing-masing.

“Selain mematuhi peraturan lalu lintas, pemilik kenderan perlu pastikan kereta mereka berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jauteh berkata kesemua aktiviti kempen setakat ini berjalan lancar walaupun pihaknya menerima 110 laporan yang kebanyakannya melibatkan kesalahan kecil.

“Laporan polis yang diterima lebih daripada separuh berbanding laporan pada 2020 dan ini menunjukkan kematangan masyarakat. Kita harap sikap profesional ini dapat dipraktikkan sehingga tamat proses pengundian,” katanya.

Sebanyak 1.76 juta pengundi akan mengundi pada PRN Sabah ke-17 Sabtu ini, yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php   

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan