KPM PERLUAS FASILITI PRASEKOLAH SEBELUM WAJIBKAN PENDIDIKAN PRASEKOLAH
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) giat memperluas keupayaan dan penyediaan fasiliti, infrastruktur dan akses prasekolah di institusi KPM sebelum mewajibkan pendidikan prasekolah, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata langkah berkenaan turut digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035, yang menekankan penyediaan akses prasekolah secara universal sebelum diwajibkan.
Wong berkata langkah untuk mewajibkan pendidikan prasekolah merupakan kesinambungan daripada Akta Pendidikan (Pindaan) 2025 sebelum ini yang memperuntukkan peluasan dasar pendidikan wajib sehingga ke peringkat menengah.
“Sehingga kini, terdapat 10,197 kelas prasekolah di seluruh negara merangkumi 6,368 institusi KPM dengan 3,222 (50.6 peratus) institusi di kawasan bandar manakala baki 3,146 (49.4 peratus) di luar bandar dan juga pedalaman dengan sasaran tahun depan, sebanyak 350 kelas lagi dibuka.
“Keutamaan KPM sekarang untuk memastikan peluasan fasilti prasekolah... kita dapat memberikan pendidikan prasekolah di peringkat KPM secara percuma,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung kesediaan KPM untuk mewajibkan pendidikan prasekolah pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.
-- BERNAMA
LEBIH 900 TAPAK PEMANCAR 5G DNB DIBINA DI JOHOR SETAKAT 31 OKT - TEO
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 924 tapak pemancar 5G telah dibina oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di Johor setakat 31 Okt lepas sekali gus memberikan kadar liputan rangkaian hingga 84.1 peratus di kawasan berpenduduk.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, 20 tapak pemancar 5G telah dibina di kawasan Muar yang menyediakan 88.7 peratus kadar liputan 5G di kawasan berpenduduk.
“Bagi rangkaian 5G kedua yang dibangunkan oleh U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), sebanyak 316 tapak pemancar dinaik taraf ke liputan 5G di Johor, sejak ia mula beroperasi pada 14 Julai lepas dan pembangunan ini telah memberikan 50.6 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di negeri itu.
“Bagi Parlimen Muar, sebanyak 20 tapak akan dinaik taraf ke liputan 5G selewat-lewatnya pada 13 Julai 2026. Langkah ini merupakan sebahagian daripada sasaran pencapaian 80 peratus liputan 5G di Malaysia di kawasan berpenduduk bagi rangkaian kedua,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang bertanyakan perkembangan jaringan 5G di Muar walaupun dalam data Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyatakan hampir 100 peratus tempat sudah mencapainya.
-- BERNAMA
2,803 SAHABAT USAHAWAN AIM CATAT KENAIKAN PENDAPATAN 10 PERATUS
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 62,803 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mencatat peningkatan pendapatan sekurang-kurangnya 10 peratus pada separuh pertama 2025, dengan purata kenaikan sebanyak RM2,161 bagi setiap usahawan.
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pada tempoh sama sebanyak 38,918 Sahabat Usahawan menerima pembiayaan modal baharu AIM untuk menjalankan projek mereka, sekali gus mengembangkan aktiviti ekonomi komuniti serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu secara langsung dan tidak langsung melalui program pembiayaan itu.
“AIM menilai indikator keberkesanan program bantuan pembiayaan melalui beberapa outcome iaitu peningkatan pendapatan Sahabat Usahawan, kadar bayaran balik pembiayaan serta peluang pekerjaan baharu yang berjaya diwujudkan secara langsung dan juga tidak langsung,” menurut jawapan lisan KUSKOP yang dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh bagi mewakili kementerian itu pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu keberkesanan usaha melahirkan usahawan di bawah AIM dalam tempoh hampir tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, susulan perbelanjaan RM1.48 bilion pada separuh pertama tahun ini.
Menurut kementerian itu, kadar bayaran balik AIM turut menunjukkan prestasi cemerlang dan meningkat setiap tahun, daripada 99.74 peratus pada 2022 kepada 99.91 peratus pada 2023, sebelum melonjak kepada 99.98 peratus pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial