JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sultan Pahang Titah Supaya Rakyat Sentiasa Berwaspada Pada Musim Tengkujuh

28/11/2025 02:10 PM

KUANTAN, 28 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat di negeri ini supaya sentiasa berwaspada ketika menghadapi musim tengkujuh.

Baginda bertitah agar rakyat terutamanya mereka yang berada di kawasan berisiko, peka terhadap keadaan semasa dan mengambil langkah keselamatan bagi diri serta keluarga.

“Saya ingin menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko banjir, supaya sentiasa berhati-hati dengan keadaan pada musim tengkujuh ini, dengan hujan lebat yang turun tanpa henti. Ibu bapa atau penjaga hendaklah memantau anak dan cucu masing-masing agar tidak berlaku perkara tidak diingini,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut menekankan kewaspadaan berikutan amaran kesan Ribut Tropika Senyar yang terbentuk di Selat Melaka dan dijangka melanda beberapa negeri di Pantai Barat dan Tengah, termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

“Ini adalah situasi yang jarang berlaku. Hujan lebat berterusan boleh menyebabkan risiko banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh yang mungkin berlaku di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. 

“Saya berharap kita semua berhati-hati, sentiasa berdoa agar dijauhi daripada segala bala bencana dan kemalangan serta terus melakukan solat hajat di masjid dan di rumah,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga menekankan kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk berpindah atau tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan. 

Baginda turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal, kerana keadaan hujan meningkatkan risiko bahaya.

Sementara itu, baginda berharap agar semua PPS di negeri ini berada dalam keadaan bersih dan teratur, serta menyeru kerjasama semua pihak dalam menjaga kebersihan, termasuk kemudahan tandas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan