JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Gerak Kerja Kempen Calon PRN Sabah Terhad Susulan Cuaca Tidak Menentu

28/11/2025 03:23 PM

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Cuaca tidak menentu dengan hujan lebat hampir setiap petang sepanjang minggu ini mengehadkan gerak kerja kempen calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, terutama di kawasan pedalaman membabitkan laluan berbukit, jalan balak serta jambatan sementara.

Cuaca di pantai barat Sabah membabitkan Kota Kinabalu, Kota Belud, Papar, Penampang, Putatan, Ranau dan Tuaran didapati hujan lebat pagi tadi berbanding di bahagian Tawau dan Sandakan yang mengalami cuaca baik.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan seperti Pensiangan, Nabawan, Sook, Tulid, Tenom dan Kimanis berdepan masalah jalan licin, paras sungai meningkat serta akses pedalaman yang terhad hingga menyebabkan banyak jadual kempen terpaksa dirombak pada saat akhir.

Ketika mengikuti kempen di Sook dan Nabawan, jadual pergerakan beberapa calon pada sebelah petang terpaksa ditukar kerana ekoran laluan tanah 'gravel' yang basah, memaksa konvoi kempen ditunda.

Keadaan cuaca itu bukan sahaja memperlahankan tempo kempen, malah menyukarkan calon untuk sampai ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terletak jauh di pedalaman selain hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Di kawasan tanah tinggi seperti Kundasang dan Tambunan, hujan lebat disusuli kabus tebal turut mengurangkan jarak penglihatan sekali gus menyukarkan perjalanan pada waktu malam.

Semakan di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati hujan dijangka melanda di beberapa tempat di Sabah, pagi esok manakala ribut petir pula diramal berlaku di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman pada sebelah petang.

Hujan juga dijangka melanda di beberapa tempat pada sebelah malam.

Sebanyak 1.76 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab pada PRN Sabah ke-17 esok, yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan