JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kunjungan Keluarga Diraja Terengganu Ubati Kesedihan Mangsa Banjir Di PPS

01/12/2025 03:09 PM

KUALA TERENGGANU, 1 Dis (Bernama) -- Kesedihan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Atas Tol di sini terubat dengan keberangkatan Yang Dipertuan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli bersama dua adinda baginda hari ini.

Tengku Muhammad Ismail, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra berangkat tiba di PPS berkenaan pada 10.18 pagi dan meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni mangsa banjir yang berlindung di PPS itu.

Selain bertanyakan khabar dan berbual mesra dengan mangsa, keluarga diraja turut berkenan menyampaikan sumbangan makanan, keperluan asas, serta bantuan kewangan kurniaan pihak Istana Terengganu kepada mangsa.

Turut mengiringi anakanda-anakanda Sultan Terengganu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali.

Selain mengunjungi mangsa banjir di Kuala Terengganu termasuk di PPS SK Atas Tol yang setakat tengahari tadi menempatkan 57 mangsa daripada 40 keluarga, putera dan puteri diraja itu juga berkenan menziarahi mangsa banjir di dua lagi daerah, iaitu di Marang di PPS SK Simpang Rawai dan Kuala Nerus antaranya di PPS SK Bukit Guntung.

Sementara itu, seorang mangsa orang kurang upaya (OKU) Noraini Mohd Yasin,50, berkata meskipun cuaca panas terik sejak semalam, dia masih kekal di PPS berkenaan untuk tempoh satu atau dua hari lagi, kerana jalan masuk ke rumahnya di Kampung Kolam Atas Tol masih digenangi air.

“Pada Jumaat lepas, rumah saya dinaiki air sedalam satu meter hingga menyebabkan saya terpaksa tinggal di PPS ini. Namun hari ini di dalam rumah sudah tiada air tetapi jalan ke rumah pula masih banjir. Mungkin sebab kampung saya itu terletak di kawasan lembah sungai jadi air lambat surut,” katanya yang berkerusi roda sejak 16 tahun lepas akibat kanser saraf.

Dalam pada itu Lamah Abdullah,69, yang tinggal di Kampung Titian Baru di sini berkata dia sudah lali menghadapi banjir sejak kecil lagi.

Namun katanya, banjir kali ini adalah yang terburuk dialaminya apabila air naik ke dalam rumah hingga paras pinggang menyebabkan dia tidak dapat menyelamatkan sebahagian besar barangan dan perabot.

“Rumah makcik pula kalau banjir memang air ‘termenung’. Paling kurang seminggu jugalah air akan surut. Jadi mungkin lama lagi makcik di sini (PPS),” katanya yang berpindah ke PPS tersebut sejak Sabtu lepas. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan