JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pindaan Akta Imigresen, Pasport Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

01/12/2025 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Imigresen (Pindaan) 2025 dan RUU Pasport (Pindaan) 2025 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini. 

Ia dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan bacaan kali kedua dan ketiga bagi kedua-dua RUU itu akan dibuat pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.

Pindaan terhadap Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) antara lain bertujuan memasukkan peruntukan baharu berhubung penggunaan sistem berautomasi dan kawalan keluar masuk individu ke dalam atau ke luar Malaysia melalui perkhidmatan kereta api.

Fasal 6 RUU itu bertujuan memasukkan Seksyen 22a yang baharu untuk memperuntukkan bahawa mana-mana orang sebelum memasuki Malaysia hendaklah mengemukakan pengecam peribadi dan data biometriknya.

Ia juga memberi pegawai imigresen kuasa untuk menghalang mana-mana orang daripada memasuki Malaysia jika orang itu enggan untuk mengemukakan pengecam peribadi dan data biometriknya.

Selain itu, Fasal 7 memperuntukkan pindaan kepada Seksyen 24 Akta 155 bagi menetapkan mana-mana individu yang tiba di Malaysia melalui laut atau udara hendaklah menjalani pemeriksaan oleh pegawai imigresen atau melalui sistem berautomasi sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia. 

Fasal 8 pula bagi meminda Seksyen 26 akta sama untuk memperuntukkan mana-mana orang yang tiba di Malaysia melalui darat hendaklah sebelum memasuki Malaysia, tertakluk kepada pemeriksaan oleh pegawai imigresen atau melalui suatu sistem berautomasi.

RUU Pasport (Pindaan) 2025 pula bertujuan meminda Akta Pasport 1966 (Akta 150), iaitu pindaan berbangkit daripada cadangan pindaan Akta 155 yang menghendaki setiap orang memasuki Malaysia atau meninggalkan Malaysia diperiksa oleh pegawai imigresen atau melalui suatu sistem berautomasi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan