JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

SBWP Lulus Usul Wujudkan Persatuan Mahasiswa Wilayah Persekutuan Di IPT - Dr Zaliha

01/12/2025 07:47 PM

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) Penggal 2025 meluluskan usul mewujudkan Persatuan Mahasiswa Wilayah Persekutuan di institusi pendidikan tinggi (IPT), sebagai badan induk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata beliau telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk meneroka cadangan penubuhan gabungan mahasiswa Wilayah Persekutuan itu, bertujuan menjaga kebajikan mahasiswa anak Wilayah Persekutuan, termasuk menyelaraskan tiket bas balik kampung, bantuan kecemasan dan sokongan akademik.

“Alhamdulillah, inisiatif ini akan dimulakan dengan jelajah dan dialog bersama-sama mahasiswa Wilayah Persekutuan di kampus universiti awam dan swasta mulai tahun hadapan.

“Sehubungan itu, JWP akan meneliti model terbaik sama ada melalui Yayasan Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan atau kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan pentadbiran universiti supaya persatuan diiktiraf di kampus utama, dilengkapkan dengan struktur tadbir urus, pangkalan data ahli serta akses kepada skim bantuan dan latihan kepimpinan yang tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Mesyuarat Kedua SBWP 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini, yang antara lain turut menyentuh isu Belanjawan 2026 dan solidariti penuh kepada Palestin.

Dr Zaliha berkata SBWP turut menyokong sebulat suara Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada 10 Okt lepas, khususnya yang menyentuh pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan anak muda bandar.

Beliau berkata pihaknya menghargai sokongan itu dan mengambil maklum bahawa bagi belia Wilayah Persekutuan isu kos sara hidup tidak boleh dipisahkan daripada akses kepada peluang mobiliti sosial seperti biasiswa, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), latihan kemahiran, program keusahawanan dan akses kepada pasaran kerja yang adil.

“Mandat yang Ahli Sidang cuba sampaikan adalah jelas, iaitu Belanjawan 2026 bukan hanya dokumen angka tetapi perlu dilihat sebagai pelan mobiliti sosial belia Wilayah Persekutuan. Dalam hal ini, JWP akan terus menajamkan fokus pelaksanaan dasar di peringkat Wilayah Persekutuan.

“Memandangkan Belanjawan 2026 merupakan dasar nasional, maka pelan tindakan khusus peringkat Wilayah Persekutuan perlu dirangka supaya manfaatnya benar-benar dirasai oleh belia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Beliau berkata JWP komited untuk bekerjasama dengan agensi, pihak berkuasa tempatan dan kepimpinan belia sendiri bagi memastikan segala ikhtiar di bawah belanjawan diterjemahkan kepada peluang nyata dalam kehidupan seharian mereka.

Sidang Belia turut menyuarakan solidariti penuh kepada rakyat Palestin, mengecam sebarang bentuk kekejaman, pembersihan etnik dan pelanggaran hak asasi, pada masa sama menggesa kerajaan menggerakkan usaha di pentas antarabangsa, mengoptimumkan jaringan kewangan dan perdagangan yang selari dengan pendirian Malaysia, serta memperkukuh naratif melalui diplomasi media dan pendidikan.

Turut disentuh usul berkaitan alam sekitar dan kelestarian termasuk meluluskan kempen “Tapau Hijau Wilayah Persekutuan”, yang menggalakkan penggunaan bekas makanan mesra alam dan membudayakan amalan membawa bekas sendiri, termasuk melalui insentif dan ganjaran digital yang kreatif kepada pengguna dan cadangan untuk menukar lampu jalan di Labuan kepada sistem solar secara berperingkat.

“Labuan sebenarnya tidak asing dengan teknologi solar. Pelaksanaan projek tenaga boleh baharu di Sabah dan Labuan menunjukkan bahawa kapasiti tenaga solar yang disambungkan atau dirancang untuk grid Sabah–Labuan mencecah sekitar 15 megawatt melalui dua projek ladang solar.

“Dalam masa yang sama, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan rakan industri sedang meneroka serta melaksanakan projek tenaga baharu di Sabah dan Labuan bagi memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pembahagian elektrik, termasuk potensi projek tenaga boleh baharu lain seperti turbin angin yang menyokong kestabilan grid di rantau ini,” kata Dr Zaliha.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan