PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelantikan semula sebagai senator sekali gus membolehkan beliau meneruskan agenda pembangunan pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata pelantikan itu datang dengan amanah besar terutama dalam usaha memastikan kesinambungan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi dan pelbagai program strategik lain yang sedang diterajui kementerian berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana melanjutkan tugas saya sebagai menteri dan juga senator untuk meneruskan agenda yang telah digariskan. Ini adalah satu tanggungjawab yang perlu saya teruskan.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Pengerusi Barisan Nasional (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang telah mencalonkan saya untuk meneruskan tugas ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Festival Idea Putrajaya 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas upacara angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah yang sekali gus menokhtahkan tanda tanya serta spekulasi mengenai status beliau bersama dua lagi menteri selepas tempoh penggal pertama mereka berakhir pada Selasa.
Selain Zambry, turut mengangkat sumpah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Ditanya mengenai portfolio dalam Kabinet, Zambry berkata beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab sedia ada.
Dalam kenyataan berasingan, Perdana Menteri berkata pelantikan Saifuddin, Zambry dan Mohd Na’im membolehkan mereka meneruskan tugasan mustahak demi kesinambungan dasar, tatakelola dan agenda reformasi negara selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
Sementara itu mengenai Festival Idea Putrajaya, Zambry berkata penganjuran edisi kedua mencatat sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai acara akademik terbesar negara selain diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata program itu turut diangkat sebagai program peringkat ASEAN dengan penyertaan menteri dari Indonesia dan Filipina, serta telah ditetapkan sebagai program di bawah Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.
Menurut beliau, keseluruhan penganjuran meraih kira-kira 500,000 pengunjung secara fizikal di peringkat negeri dan 1.4 juta peserta dalam talian.
“Ini adalah satu kejayaan besar negara. Kementerian Pendidikan Tinggi berjaya menunjukkan semangat kerja berpasukan yang sangat baik di semua peringkat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial