PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI sentiasa memberikan dukungan penuh kepada semua badan penguat kuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperkukuh usaha memerangi rasuah.
Kerajaan MADANI sentiasa memberikan dukungan penuh kepada semua badan penguat kuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam memperkukuh usaha memerangi rasuah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata sokongan itu mesti hadir seiring komitmen terhadap nilai, tatakelola dan tindakan yang konsisten.
Beliau berkata dalam sebuah negara demokrasi, kritikan terhadap langkah kerajaan adalah perkara biasa, namun yang membimbangkan ialah sikap segelintir pihak yang lantang menentang rasuah tetapi pada masa sama mempertahankan kepentingan syarikat besar yang terpalit isu integriti.
Memetik surah Al-Muddathir, Anwar berkata ayat-ayat awal surah itu mengingatkan manusia agar bangun daripada kelalaian, tidak hanyut dalam rasa cukup diri, serta sentiasa membersihkan hati dan amalan daripada sifat khianat, hasad dengki dan kecuaian.
“Kadang-kadang kita anggap diri sudah cukup sempurna, sudah cukup berjasa, sudah cukup pintar. Itu semua kealpaan...bangun daripada kelalaian itu penting. Jika benar yakin kepada Allah Yang Maha Besar, bersihkan diri, bersihkan pemikiran, bersihkan jiwa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 di sini hari ini.
Majlis sambutan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Berucap lanjut, Anwar menegaskan bahawa sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya platform memperbaharui tekad dalam memerangi rasuah, selaras dengan peringatan moral dan nilai yang digariskan dalam Al-Quran.
Dalam konteks pentadbiran negara, Perdana Menteri berkata tiada pembaharuan boleh dicapai tanpa kekuatan nilai yang tulen sama ada dalam aspek integriti, ekonomi mahupun sistem keadilan.
“Tatakelola yang baik, integriti yang lebih kukuh, ekonomi yang lebih adil, semuanya tidak mungkin dicapai jika nilai tidak disemai dan diamalkan,” katanya sambil menyeru pembudayaan nasional yang tegas menolak rasuah diperkasakan dengan iltizam lebih besar.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha pencegahan rasuah sejak zaman Rasulullah SAW menekankan pembinaan watak dan persediaan moral sebelum perjuangan dan kepimpinan dimulai, sehingga lahir generasi berintegriti teguh yang dikenali sebagai jilun quraniyun farid, iaitu generasi yang bukan sahaja membaca tetapi menghayati wahyu.
Mengenai hala tuju negara, Anwar menegaskan Malaysia MADANI tidak menolak semua perkara lama, namun menuntut keberanian meninggalkan sistem bobrok (merosakkan) yang memuliakan rasuah dan menjadikannya norma bagi mereka yang berkuasa.
Perdana Menteri turut menegur budaya songsang dalam masyarakat apabila pemberi rasuah diangkat sebagai “pejuang”, sedangkan nilai dan akhlak sedemikian jelas merosakkan negara.
“Apa maknanya kita bicara soal akhlak? Rasulullah SAW diangkat kerana akhlaknya, nilai dan kekuatan peribadi. Itu asas perubahan,” katanya.
Mengulas tindakan penguatkuasaan mutakhir, Anwar berkata kerajaan terus memperkasa kerjasama rentas agensi termasuk SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan tindakan tegas terhadap rasuah dan penyeludupan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata penyelarasan dan operasi bersepadu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini telah berjaya menyelamatkan RM15.5 bilion wang negara daripada jatuh ke tangan pihak yang menyeleweng.
“Cuba renungkan, ke mana wang itu pergi kalau kita tidak bertindak? Masuk saku penyakau. Mengapa ia dibiarkan begitu lama? Mengapa tiada tindakan sebelum ini? Ini persoalan yang harus mengetuk hati kita,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penguat kuasa yang berani mengasak kartel serta sindiket penyeludupan berskala besar, meskipun usaha mereka sebelum ini sering dipertikaikan oleh segelintir pihak.
“Tidak mudah memecah tembok kartel. Penyeludup bukan jarum, tetapi kontena, ratusan. Namun kita sudah mula menunjukkan hasil dan saya sanjung tinggi semua badan penguatkuasaan,” katanya.
Anwar menyeru seluruh jentera kerajaan, khususnya penjawat awam dan kepimpinan politik, untuk kembali menghayati nilai integriti dan melaksanakan amanah dengan kesedaran bahawa tiada siapa yang sempurna dan semua perlu terus diperingatkan.
“Kita mesti memupuk budaya yang baik dalam seluruh jentera kita. Inilah kekuatan kita untuk memastikan Malaysia terus maju sebagai negara yang bersih dan berintegriti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial