PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata empat anggota Kabinet telah mewakili Jemaah Menteri untuk menziarahi keluarga Allahyarham dan menghadiri pengebumian di Sabah.
“Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini hari ini.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Sabah pada 1.46 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang dan solat jenazah dilakukan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas selepas solat Jumaat.
Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah pada 29 Nov lepas.
Sementara itu, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ewon Benedick (bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) yang secara teknikalnya tidak lagi menjadi menteri di peringkat Persekutuan setelah mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet Sabah.
Fahmi berkata walaupun Ewon sebelum ini diberikan cuti rehat bagi tempoh kempen PRN, kedudukannya sebagai anggota Jemaah Menteri Persekutuan terhenti sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatan baharu di Sabah.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan memegang portfolio Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial