KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kerjasama erat, perbincangan mendalam serta libat urus berterusan dengan penuh kepercayaan antara pimpinan Malaysia dan Singapura penting demi kemakmuran bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia dan Singapura bukan sekadar negara sahabat, tetapi tetangga terdekat yang umpama keluarga, saling bergantung dan menyokong satu sama lain sepanjang hubungan diplomatik yang terjalin erat selama enam dekad.
"Saya dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berbangga dengan setiap pencapaian yang kita bina bersama.
"Semoga momentum ini terus memperkasakan hubungan Malaysia dan Singapura, membuka lebih banyak ruang kerjasama demi manfaat rakyat kedua-dua negara," kata Perdana Menteri menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.
Semalam, Anwar mengadakan lawatan kerja sehari ke Singapura untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.
Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara merupakan mekanisme tertinggi untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta meneroka peluang baharu bagi memperkukuh hubungan dua negara jiran itu.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai USD78.70 bilion (RM339.39 bilion) dari Januari hingga Oktober 2025, mewakili 13.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial