JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

World #QuranConvention 2025: Pemimpin Islam Digesa Terjemah Prinsip Dalam Al-Quran Kepada Tindakan

06/12/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- World #QuranConvention 2025 membuka tirainya hari ini dengan menyeru pemimpin dan masyarakat Islam untuk menterjemahkan prinsip-prinsip dalam al-Quran kepada strategi yang boleh dilaksanakan demi pembangunan sosial dan ekonomi ummah. 

Dalam ucaptama pada majlis itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ajaran al-Quran bukan sahaja membentuk keimanan individu, malah berperanan sebagai pelan tindakan yang praktikal kepada penggubal dasar, perancang ekonomi dan pelaksanaan strategi dalam menangani cabaran semasa.

“Al-Quran bukan sebuah teks untuk dikagumi dari jauh tetapi sumber panduan hidup yang membentuk ekonomi, institusi dan masa depan masyarakat kita,” katanya di sini hari ini. 

Amirudin turut berkongsi beberapa ayat dalam al-Quran yang menjadi panduan dalam kepimpinan beliau, membantunya fokus pada kesabaran, integriti dan tanggungjawab bersama, manakala ayat-ayat tertentu menekankan mengenai disiplin, kerja berpasukan dan inisiatif yang sejajar dengan prinsip moral dan etika. 

“Pada asasnya, ia merupakan satu rangka kerja moral yang melindungi golongan rentan, menggalakkan pengagihan kekayaan yang adil, menolak eksploitasi dan menegakkan maruah, ketelusan dan bertanggungjawab,” katanya, menambah bahawa tiada sesiapa harus diketepikan disebabkan kemiskinan atau kurang bernasib baik.  

Amirudin turut memberi contoh Selangor sebagai negeri yang telah mengaplikasikan prinsip-prinsip tersebut menerusi pelbagai program yang dilaksanakan bagi memperkasa usahawan kecil dan perniagaan mikro, meningkatkan akses kepada pembiayaan serta menyediakan latihan dan sokongan bagi membantu keluarga mencapai kelangsungan hidup yang mampan.

“Antara banyak usaha yang telah kita jalankan, tadbir urus halal merupakan adalah satu daripada contoh paling ketara bagaimana nilai-nilai al-Quran boleh diterjemahkan kepada dasar dan sistem.

“Selama lebih setengah abad, Selangor telah berusaha menginstitusikan pengawasan halal, menganggapnya sebagai amanah bersama antara kerajaan, industri dan komuniti,” katanya sambil menambah bahawa Selangor kini menjadi antara ekosistem halal paling aktif di Malaysia. 

Dalam pada itu, World #QuranConvention 2025 menekankan kepentingan Surah Al-Saff dalam membentuk penyelesaian pembangunan ekonomi berpandukan ajaran al-Quran.

Program dua hari itu menampilkan penceramah terkenal termasuk Pengasas Bayyinah Institute Ustaz Nouman Ali Khan; Ketua Pengawai Kandungan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Ustaz Fazrul Ismail; Ketua Eksekutif Oxford Intellect Dr Imran Alvi dan ramai lagi. 

Seiring dengan acara itu, World #QuranConvention 2025 turut memperkenalkan #Saff12Movement, satu rangka kerja menyeluruh yang menyusun semula peranan ummah merentasi 12 sektor sosial dan ekonomi utama bagi menterjemahkan mesej Surah Al-Saff daripada renungan kepada tindakan tersusun serta kerjasama jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan