JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KPDN Sedia Buka Pos Kawalan PBP Baharu Pastikan Bekalan Sampai Ke Pedalaman

11/12/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia menambah pembinaan pos kawalan baharu bagi memastikan bekalan barang-barang keperluan dan bersubsidi sampai ke kawasan pedalaman yang masih menghadapi isu capaian.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata di bawah program Pengedaran Barangan Perlu (PBP), pembukaan pos kawalan baharu boleh dipertimbangkan sekiranya sesuatu kawasan berada lebih 15 kilometer (km) dari pos sedia ada serta harga barang kawalan yang dijual melebihi 50 peratus daripada harga kawalan akibat kos logistik tinggi.

“Ini dasarnya… selepas 15km, boleh diwujudkan satu lagi pos. Jika harga barang di kawasan tanpa pos meningkat sehingga lebih 50 peratus daripada harga kawalan, ia layak disyorkan untuk penubuhan pos pengedaran barang perlu baharu.

“KPDN terbuka berbincang dengan Ahli Parlimen dan wakil tempatan bagi meneliti kawasan yang memerlukan tambahan pos kawalan PBP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Michael Mujah Lihan dan Norhasmimi  Abdul Ghani yang sebelum ini membangkitkan isu PBP di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar diakses masuk hingga menyebabkan kos logistik melambung tinggi.

Fuziah berkata kerajaan memperuntukkan RM250 juta kepada PBP melibatkan 120 zon pengedaran, 559 kawasan serta 820 titik jualan di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Pahang.

Beliau menjelaskan kos logistik yang tinggi, termasuk penghantaran menggunakan bot ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak menyebabkan harga barangan kawalan seperti LPG, tepung gandum, gula dan minyak masak paket melonjak jika tiada intervensi kerajaan melalui PBP.

Menjawab kebimbangan beberapa senator mengenai kesukaran rakyat mendapatkan minyak masak paket untuk majlis kenduri atau penggunaan pukal peniaga kecil, Fuziah berkata kontrak pengeluaran harian minyak masak bersubsidi telah ditetapkan sebanyak 60,000 karton sehari dan tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya.

Namun, beliau berkata KPDN bersedia meneliti pandangan yang dikemukakan bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipertimbangkan tanpa menjejaskan integriti sistem subsidi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dalam penggulungannya berkata kementerian melalui PLANMalaysia akan memperluaskan pembangunan papan pemuka analitik Malaysia Urban Observatory (MUO) untuk pengesanan kawasan berisiko bencana banjir ke negeri lain mulai tahun depan.

Beliau berkata setakat ini, pembangunan papan pemuka analitik itu telah pun disiapkan untuk Perak dan Selangor.

“Papan pemuka analitik ini membolehkan pengesanan kawasan yang berpotensi mengalami banjir dan banjir kilat dengan mengenal pasti jenis guna tanah seperti kawasan pembinaan, perumahan dan perniagaan sebagai langkah pencegahan dan mitigasi bersama pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan,” katanya.

Aiman Athirah berkata sistem MUO diintegrasikan dengan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memperkukuh ketepatan maklumat, dengan data masa nyata digabungkan menggunakan kaedah pembelajaran mesin untuk menghasilkan ramalan berdasarkan corak seperti musim, masa, lokasi dan jenis guna tanah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata kerajaan sedang membangunkan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data Nasional sebagai kerangka utama untuk memperkukuh tadbir urus dan keselamatan data kerajaan serta sektor awam.

Beliau berkata strategi itu menyatukan prinsip keselamatan, akauntabiliti dan kepercayaan digital, selain menjadi komponen penting dalam usaha Malaysia membina ekosistem AI yang selamat dan berdaya tahan.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan