JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kerja Pembaikan Jambatan Kanopi Seberang Ara Taman Negara Siap Mac 2026

12/12/2025 12:31 PM

KUANTAN, 12 Dis (Bernama) -- Kerja pembaikan Jambatan Kanopi Seberang Ara di Taman Negara Kuala Tahan dijangka siap pada Mac tahun depan. 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyalurkan peruntukan tambahan bagi tujuan itu dengan kerja pembaikan bermula pada 10 Nov.

Beliau berkata jambatan gantung itu telah siap dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Julai 2024 namun terpaksa ditutup kerana kerosakan akibat ribut.

“Pada Februari 2025 ribut berlaku sehingga menyebabkan pokok tumbang dan telah mengakibatkan kerosakan besar terhadap jambatan itu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Leong berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PN-Tahan) yang ingin tahu status projek baik pulih jambatan kanopi dan bila jambatan gantung kedua akan dibuka kepada orang awam. 

Selain itu, beliau berkata kerja penambahbaikan Jambatan Kanopi Terisik yang berusia 30 tahun telah bermula pada penghujung 2024 dengan jangkaan siap pada Mei 2025, namun terjejas akibat kejadian ribut petir pada 14 Mei. 

“Kejadian berlaku semasa kerja penambahbaikan mencapai 80 peratus dan telah menyebabkan pokok tumbang di jambatan berkenaan akibat disambar petir,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan