JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Lebih 369,000 Pelajar Sertai Kempen Internet Selamat Setakat 30 Nov

13/12/2025 04:15 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Dis (Bernama) -- Kempen Internet Selamat 2025 berjaya dilaksanakan di 8,462 sekolah di seluruh negara dengan penyertaan lebih 369,000 pelajar setakat 30 Nov lepas, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Beliau berkata kempen itu akan diteruskan pada tahun hadapan bagi memastikan kesinambungan usaha perlindungan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar bagi menghadapi ancaman dalam talian.

“Pelancaran kempen ini pada Januari lepas adalah usaha penting untuk mendidik rakyat tentang amalan selamat ketika berada dalam talian, iaitu daripada penggunaan kata laluan yang kukuh hinggalah cara mengenal pasti penipuan, pemalsuan wajah dan maklumat palsu.

“Kempen ini bukan sahaja memberi kesedaran malah menyediakan modul latihan, bahan pembelajaran serta latihan bersemuka bersama sekolah, komuniti setempat dan agensi-agensi kerajaan. Usaha ini memastikan semua lapisan masyarakat guru, ibu bapa, pelajar dan pengguna umum memahami risiko digital dan tahu mengenai langkah perlindungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nik Kamaruzaman berkata kempen itu berjaya memperkasa pelajar daripada 435 sekolah di Terengganu, sekali gus menjadi satu pencapaian besar yang mencerminkan komitmen negeri itu dalam menjadikan keselamatan siber sebagai keutamaan pendidikan.

“Sebanyak 14,351 pelajar terlibat secara langsung melalui bengkel, ceramah dan aktiviti interaktif. Ini menandakan kesedaran rakyat semakin meningkat dan Terengganu kini dilihat sebagai antara negeri paling proaktif dalam pendidikan keselamatan digital,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kempen berkenaan menjadi permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak program literasi digital melibatkan ibu bapa, belia, komuniti kampung, masjid serta agensi kerajaan dan swasta bagi membentuk ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika untuk generasi akan datang.

Sementara itu, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 Dr Quek Soh Theng berkata pendedahan mengenai keselamatan Internet dan isu buli siber penting kerana sebelum ini masyarakat kurang terdedah kepada perkara itu, sekali gus menyebabkan mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan bermula dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi itu wajar buat secara berterusan bagi membentuk generasi pengguna Internet yang lebih beretika dan berwaspada.

“Saya berharap kerajaan dapat memperluaskan lagi pelaksanaan program kempen itu dengan penglibatan lebih banyak sekolah supaya murid-murid mendapat pendedahan menyeluruh serta tidak menyalahgunakan kemudahan Internet,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan