JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Infrastruktur Awam Kampung Sungai Mati Dinaik Taraf Menerusi Kampung Angkat MADANI J-KOM

13/12/2025 05:35 PM

TAIPING, 13 Dis (Bernama) -- Beberapa infrastruktur asas di Kampung Sungai Mati, Simpang di sini ditambah baik menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI di bawah seliaan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan peruntukan berjumlah RM587,100.

Ketua Pengarah J-KOM Datuk Ismail Yusop berkata di bawah inisiatif itu sebanyak tujuh projek naik taraf telah dilaksanakan sejak Oktober lepas hingga bulan ini termasuk pembinaan longkang bagi membantu menangani masalah banjir.

“… antaranya ialah pembinaan longkang konkrit menggantikan parit tanah sedia ada, yang sebelum ini menyebabkan aliran air tidak lancar dan menyumbang kepada kejadian banjir. Langkah itu dijangka dapat mengurangkan risiko limpahan air semasa hujan lebat.

“Selain itu, kerja penyelenggaraan dan penurapan jalan turut dilaksanakan susulan keadaan jalan yang rosak dan berlubang. Kita juga menaik taraf lampu solar, surau, dewan, ruang niaga penjaja kecil dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran dan penyerahan Kampung Angkat MADANI J-KOM di Surau Aziziah, Kampung Sungai Mati di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Operasi J-KOM Perak Asmar Affandi Mazran serta Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama Shaily Yasmin Abdullah.

Program Kampung Angkat MADANI adalah inisiatif diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2024 dan diperkukuh menerusi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Program berfokuskan pembangunan seimbang antara bandar dengan desa itu menyasarkan pembangunan kampung-kampung yang masih memiliki kadar liputan kemudahan asas bawah 50 peratus.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya berharap inisiatif yang telah dilaksanakan itu akan dapat memastikan manfaat kerajaan sampai ke golongan sasaran disasarkan.

“Pendekatan ini juga akan mengurangkan birokrasi yang sebelum ini melambatkan proses kelulusan pembangunan di peringkat kampung atau komuniti,” katanya.

Pada majlis berkenaan turut diadakan program Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan, penukaran minyak hitam motosikal secara percuma dan taklimat berkaitan teknologi maklumat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan