JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

2 Terbunuh, 8 Cedera Parah Dalam Insiden Tembakan Di Universiti Brown, AS

14/12/2025 09:47 AM

WASHINGTON, 14 Dis (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh manakala lapan cedera parah dalam insiden tembakan di Universiti Brown di bandar Providence, Rhode Island, Amerika Syarikat pada Sabtu. 

Pihak berkuasa memaklumkan suspek masih bebas dan arahan berlindung di rumah masing-masing masih dikuatkuasakan, lapor Anadolu Ajansi. 

Datuk Bandar Providence, Brett Smiley mengesahkan terdapat dua individu maut manakala lapan lagi berada dalam keadaan kritikal namun stabil di Hospital Rhode Island, katanya kepada pemberita. 

Pihak berkuasa berkata panggilan kecemasan diterima sejurus selepas 4 petang waktu tempatan (2100 GMT), sekali gus mencetuskan tindak balas segera oleh polis Universiti Brown, diikuti polis Providence, anggota bomba dan pasukan perubatan kecemasan.

Insiden tembakan berlaku di Bangunan Kejuruteraan Barus dan Holley di kampus berkenaan yang menempatkan bilik kuliah serta makmal. 

Polis berkata anggota keselamatan segera memasuki bangunan itu dan menjalankan pemeriksaan sistematik namun gagal mengesan suspek.

Polis memaklumkan suspek dipercayai seorang lelaki berpakaian hitam yang telah keluar dari bangunan berkenaan. 

Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan motif kejadian masih belum diketahui.

Pihak bomba berkata 10 mangsa dikenal pasti, dengan lapan daripadanya dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal namun stabil, manakala dua lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat yang beroperasi bersama polis terus memeriksa bangunan-bangunan di kampus bagi memastikan tiada mangsa tambahan.

Pihak berkuasa memaklumkan beberapa agensi terlibat dalam tindak balas berkenaan termasuk polis negeri, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF). 

Universiti Brown memaklumkan pihaknya sedang menubuhkan pusat penyatuan semula keluarga dan akan menyalurkan maklumat terkini melalui saluran rasmi. 

Pegawai universiti enggan mendedahkan butiran mengenai mangsa termasuk sama ada mereka pelajar atau kakitangan, dengan alasan siasatan masih di peringkat awal.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan