Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi kemungkinan banjir besar pada awal tahun depan bagi memastikan kelancaran komunikasi dan capaian rangkaian tidak terganggu, kata Menteri berkenaan Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata tumpuan utama kementerian ialah memastikan pemulihan segera rangkaian komunikasi dan kesalinghubungan di kawasan terjejas kekal berfungsi serta bantuan diberikan kepada mangsa.
Fahmi berkata pengalaman banjir besar yang melanda beberapa daerah di Kelantan awal tahun ini menjadi pengajaran penting untuk memperkukuh persediaan, khususnya melibatkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan penyedia prasarana menara komunikasi.
"Semasa banjir besar awal tahun (ini), banyak menara (komunikasi) yang sangat terkesan sampaikan jambatan hanyut, kabel yang ditanam (di bawah tanah) pun patah (akibat banjir). Jadi, saya sudah minta supaya pasukan berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual Bernama diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Duraj Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi M. Saraswathi.
Menurut Fahmi, hasil kerjasama rapat dengan syarikat telekomunikasi, tindakan pantas akan diambil bagi menghidupkan semula menara komunikasi yang terkesan sebaik sahaja bekalan elektrik dan sambungan gentian dipulihkan.
"Alhamdulillah, tahun ini tahap kesiapsiagaan kita lebih baik, terutama persiapan kerjasama dengan telco (syarikat telekomunikasi) untuk pastikan menara yang terkesan akibat banjir dapat dihidupkan dengan segera tertakluk kepada bekalan elektrik dan fiber.
"Kedua, untuk pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapkan dengan (perkhidmatan) WiFi dan sekiranya perlu, Starlink. Jadi, kali ini jauh lebih pantas pergerakan pasukan dan telco pun mainkan peranan yang sangat besar dan penting untuk selesaikan masalah ini," katanya.
Fahmi turut memaklumkan kementerian dan agensi terlibat telah melaksanakan langkah site hardening di menara komunikasi termasuk menaikkan struktur peti elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi mengelak kerosakan akibat paras air yang meningkat.
"Baru-baru ini, saya melawat satu kawasan menara di Moyog, Sabah. Kawasan itu apabila banjir baru-baru ini, air bah naik sampai ke tahap bahu dan waktu itu habis tenggelam prasarana dan kotak peti elektrik TNB. Jadi, peti itu telah dinaikkan dengan cara yang sangat baik, pantas, teknologi yang mudah, tetapi kos dapat dikawal. Kita percaya tak berlaku lagi masalah (itu)," katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata kementerian melalui agensi di bawahnya sentiasa bersiap siaga dalam menghulurkan bantuan kebajikan, termasuk menerusi penubuhan Skuad Ehsan MADANI serta kewujudan tabung bencana di bawah kementerian itu.
Beliau berkata khusus untuk kebajikan pengamal media, kementerian turut menyediakan Tabung Kasih @HAWANA, yang disifatkan mencukupi dan bersedia untuk membantu sekiranya terdapat wartawan atau ahli keluarga mereka yang terkesan akibat bencana.
"Dari segi tabung, saya dapati kita sangat bersedia dan mencukupi untuk membantu sekiranya ada keluarga yang terjejas," katanya.
Fahmi berkata pihak kementerian telah mengenal pasti beberapa individu yang terkesan dalam kejadian banjir baru-baru ini, namun jumlah sebenar masih dalam proses pengemaskinian dan akan dirangkumkan sekiranya berlaku episod banjir susulan dalam tempoh seminggu akan datang.
Kementerian itu, menurutnya, turut menerima sumbangan barangan bantuan sebelum ini dan telah meminta supaya pengagihan dilaksanakan dalam suku pertama tahun hadapan, dengan perancangan untuk mengadakan jelajah penyampaian bantuan seawal Januari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial