JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Kementerian Komunikasi Tumpu Tiga Aspek Utama Tahun Hadapan

16/12/2025 02:59 PM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama tahun hadapan, iaitu pengukuhan infrastruktur digital, pemerkasaan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga, serta pengukuhan keupayaan komunikasi strategik kerajaan bagi memastikan penyampaian maklumat lebih berkesan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata aspek pertama yang menjadi keutamaan kementerian ialah infrastruktur digital yang disifatkan sebagai 'makanan ruji' kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata dalam Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan beberapa projek utama yang akan dilaksanakan oleh MCMC dan kementerian, termasuk penyiapan projek Point of Presence (POP) serta pelaksanaan Projek Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

“Projek JENDELA Fasa 2 akan memastikan liputan internet disediakan di 2,700 lokasi di seluruh negara, khususnya kawasan yang sebelum ini langsung tidak mempunyai akses internet,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bagi November dan Disember Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Selain itu, Fahmi berkata pembinaan Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026, akan memperkukuh hubungan internet antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Projek ini merupakan usaha besar yang kami harapkan menjadi peninggalan penting untuk generasi akan datang dalam merapatkan hubungan keluarga besar Malaysia,” katanya.

Pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dengan peruntukan RM2 bilion akan dibangunkan oleh MCMC, membabitkan laluan dari Sedili di Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak, seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

Mengenai ekonomi kreatif atau ekonomi jingga, Fahmi berkata sektor itu dijangka berkembang rancak dengan tumpuan ke pasaran Asia Tenggara.

Beliau berkata ekonomi kreatif mampu menghasilkan produk tempatan seperti filem, muzik, fesyen dan makanan yang menarik minat pelancong serta berpotensi dieksport.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi juga bersedia membantu kementerian, agensi dan jabatan kerajaan menyampaikan maklumat secara berkesan, terutama kepada Generasi Z berusia 15 hingga 35 tahun yang banyak mendapatkan maklumat melalui WhatsApp, TikTok dan Facebook.

Fahmi berkata walaupun golongan berkenaan banyak menerima maklumat daripada platform tersebut, tetapi tahap kebolehpercayaan terhadap maklumat masih rendah.

"Dibandingkan dengan media arus perdana surat khabar, radio television, kumpulan ini kurang meneliti, kurang menonton, kurang mendengar, kurang membaca, memegang surat khabar tapi sekiranya mereka mendapat maklumat daripada platform itu, tahap kepercayaan dan kebolehpercayaan itu sangat tinggi.

"Kementerian Komunikasi bertanggung jawab membantu menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasar dengan tepat dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan