KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merekodkan pelbagai pencapaian penting dalam dua tahun terakhir, khususnya dalam usaha memperkukuh kebajikan, kemahiran dan pendapatan pekerja di negara ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menerusi hantaran di akaun X hari ini berkata pelbagai dasar dan reformasi telah dilaksanakan bagi mengangkat martabat pekerja, walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Disember ini menandakan ulang tahun kedua saya di KESUMA. Saya berasa bertuah dan bangga diberi peluang menyumbang sedikit kudrat untuk mengangkat martabat pekerja.
“Kami bukan 100 peratus sempurna, tetapi pasukan @myKESUMA telah bekerja keras sepanjang dua tahun ini memastikan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja meningkat,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada warga kementerian dan pemegang taruh atas kerjasama menjayakan misi kementerian.
Antara pencapaian utama termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan serta gaji bulanan median yang buat pertama kali melepasi ambang RM3,000.
Selain itu, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif memberi manfaat kepada lebih 32,000 pekerja pada 2025 dengan kenaikan gaji permulaan median sehingga 16 peratus. Kadar pengangguran juga mencatatkan paras terendah dalam 10 tahun, selain peningkatan tertinggi dari segi penubuhan kesatuan sekerja baharu.
“KESUMA berjaya meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) C155 serta menguatkuasakan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) berlandaskan amalan terbaik dunia. Untuk pertama kali dalam 20 tahun, Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak dipinda bagi memastikan hak pekerja lebih saksama di seluruh negara,” menurut hantaran itu.
Kementerian turut memperkasakan Mahkamah Perusahaan Malaysia, hak pekerja migran, termasuk dari segi pembayaran gaji, perlindungan keselamatan sosial dan mekanisme aduan, di samping penambahbaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Antara inisiatif bersejarah ialah pengenalan Skim Lindung 24 Jam PERKESO selepas 50 tahun dan pembentangan Rang Undang-Undang Pekerja Gig.
Pencapaian lain termasuk revolusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran, bagi memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia dan Sijil Pakar Malaysia.
Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Sim dilantik memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial