JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

DUN Sabah: Isu Setinggan Ditangani, Sektor Agro Dipacu Program Baharu

17/12/2025 03:09 PM

KOTA KINABALU, 17 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah sedang melaksanakan pendekatan lebih komprehensif dalam menangani isu setinggan di seluruh negeri, termasuk mencadangkan 45 koloni untuk diwartakan sebagai kampung bagi memastikan penempatan lebih teratur dan selamat buat penduduk.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi berfasa dalam menguruskan setinggan, merangkumi penggazetan kawasan sesuai, penempatan semula, pembinaan rumah kos rendah serta penyediaan lot atau tapak kediaman bersesuaian.

Beliau berkata statistik terkini menunjukkan jumlah koloni setinggan menurun ketara daripada 285 koloni pada 2023 kepada 233 koloni, iaitu penurunan 18 peratus.

“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Induk Ehwal Setinggan Negeri Sabah telah menggariskan beberapa pendekatan dalam menguruskan setinggan di negeri ini. Antaranya, penggazetan kawasan setinggan yang sesuai sebagai perkampungan, penempatan semula setinggan melalui tawaran lot atau tapak atau unit rumah yang sesuai,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata kementeriannya menerima peruntukan RM257.44 juta bagi 2026, meningkat 4.2 peratus berbanding RM247.01 juta tahun ini, selaras dengan keperluan meningkatkan kualiti hidup rakyat serta pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0.

Dalam usaha meningkatkan akses kediaman rakyat, Mohd Arifin berkata kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sedang meneruskan pembangunan perumahan mampu milik secara lebih agresif.

Beliau berkata dua projek Rumah Mampu Milik (RMM) sedang dalam pembinaan membabitkan 243 unit apartment di Kepayan Ridge, Kota Kinabalu serta 241 unit rumah teres di Kimanis, Papar.

Selain itu, empat projek RMM berskala besar sedang dirancang di bawah RMK-13, merangkumi 78 unit apartment di Jalan Sepanggar, Kepayan (200 unit) dan Tanjung Aru (86 unit), serta 1,200 unit rumah berkembar di Beringgis, Papar

Secara keseluruhan, 1,564 unit rumah mampu milik bakal dibangunkan di beberapa lokasi strategik.

Sementara itu, Sabah juga sedang memperkukuh ekosistem pertanian, perikanan dan pembangunan usahawan makanan melalui pelaksanaan beberapa program baharu melibatkan belia, komuniti luar bandar serta industri hiliran, termasuk pengenalan Program Mentor Mentee Pertanian, peluasan Sistem Tagal, pemerkasaan Inisiatif Ekonomi Biru dan pelancaran Kebun Dapur Sabah pada 2026.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar ketika menggulung berkata program tersebut dirangka sebagai strategi jangka panjang bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing dalam sektor agromakanan, di samping meningkatkan penyertaan generasi muda dalam industri itu.

Jamawi berkata program mentor-mentee akan menjadi platform sistematik untuk mengenal pasti anak-anak muda yang aktif dalam bidang pertanian bagi dibimbing oleh usahawan dan pengusaha pertanian berpengalaman.

“Program Mentor-Mentee Pertanian sebagai pendekatan untuk mengenal pasti anak-anak muda yang bergiat aktif dalam bidang pertanian bagi membimbing generasi muda berkecimpung dalam sektor pertanian,” katanya .

Dalam usaha memperkukuh industri perikanan laut, Jamawi berkata RM900,000 diluluskan kepada Jabatan Perikanan Sabah di bawah Inisiatif Ekonomi Biru bagi melaksanakan beberapa projek strategik.

Antara projek tersebut ialah pembinaan dan melabuh tukun tiruan, bantuan peralatan Fish Aggregating Devices (FAD) kepada nelayan tuna dan pendigitalan ekonomi biru perikanan melalui pelampung GPS.

Beliau turut menjelaskan bahawa projek tukun tiruan yang telah bermula sejak 1982 masih diteruskan, dengan 2,535 unit tukun konkrit dilabuhkan di 85 lokasi setakat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan