JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Menteri Kabinet Perlu Pastikan Pelaksanaan Dasar Pantas - Anwar

17/12/2025 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan anggota Kabinet untuk terus bekerja dengan berdisiplin, bagi memastikan pelaksanaan dasar Kerajaan MADANI bergerak dengan pantas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mahu semua barisan menteri berkhidmat dengan penuh kerendahan hati, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan.

“Ini adalah Kabinet penerus kehendak rakyat yang memikul amanah besar, menuntut tindakan segera, keputusan berani serta keupayaan menterjemah kehendak dan nurani setiap lapisan masyarakat menjadi dasar yang berfungsi dan dirasai, bukan sekadar retorik,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut berkongsi beberapa keping gambar mesyuarat Kabinet MADANI yang berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, di Istana Negara hari ini.

Untuk rekod, ini merupakan mesyuarat Kabinet pertama Jemaah Menteri Kerajaan MADANI selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri semalam.

Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Selain pertukaran portfolio menteri sedia ada, ia antara lain melibatkan enam timbalan menteri dan satu muka baharu yang diangkat sebagai menteri penuh.

Rombakan Kabinet yang pertama Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dilaksanakan pada Disember 2023.

Sebanyak tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan