JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Banjir Pahang: Operasi Menyelamat Tanpa Henti, Jumlah Penduduk Terjejas Meningkat

17/12/2025 06:06 PM

KUANTAN, 17 Dis (Bernama) -- Operasi menyelamat mangsa banjir dilaksanakan tanpa henti susulan peningkatan jumlah penduduk terjejas di Pahang akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

Pasukan penyelamat terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan sepenuhnya bagi memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah APM Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata operasi memindahkan penduduk sudah memasuki hari ketiga bermula Isnin di Kuantan, yang dilaksanakan sehingga kini dalam keadaan hujan berterusan. 

“Setiap pasukan terdiri daripada enam hingga lapan anggota yang bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau lori dengan tumpuan diberikan di kawasan terjejas teruk antaranya Seri Damai dan Bunut Rendang di sini. 

“Penugasan anggota ada yang sudah menjangkau 12 hingga 16 jam namun mereka akan diganti dengan pasukan lain untuk berehat sebelum kembali bertugas. Kami bertugas round the clock (sepanjang masa) dan motivasi anggota masih berada dalam tahap yang baik ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Che Adam berkata antara cabaran dihadapi pasukannya ialah paras air meningkat dengan ketara di sebahagian kawasan daerah ini disebabkan hujan lebat, namun operasi tetap dijalankan tanpa mengabaikan aspek keselamatan. 

Beliau berkata pihaknya bersedia mendapatkan anggota dari daerah yang tidak terjejas banjir sekiranya diperlukan bagi memperkukuh operasi di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan jalan dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas, khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai dan parit besar.

Beliau berkata penutupan jalan dibuat bagi mengelakkan risiko kemalangan, kerosakan kenderaan dan ancaman keselamatan nyawa.

“Perlu juga mengelakkan aktiviti berhampiran arus deras, longkang, parit dan sungai, dan sentiasa memantau makluman rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Ashari berkata pihaknya memberi jaminan bahawa pemantauan dan penugasan anggota akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi bantuan bencana.

Setakat 4 petang ini, aplikasi Infobencana JKM merekodkan 3,796 mangsa banjir daripada 1,206 keluarga berada di 48 PPS di Kuantan, Maran, Rompin dan Pekan berbanding 2,860 mangsa daripada 889 keluarga ditempatkan di 29 PPS di Kuantan, Maran dan Rompin tengah hari tadi. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan