JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Banjir Kelantan Pulih, Mangsa Di Pahang Dan Terengganu Menurun

20/12/2025 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Kelantan pulih petang ini manakala keadaan di Pahang dan Terengganu bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun berbanding pagi tadi.

Di KELANTAN, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri memaklumkan empat PPS di Kuala Krai ditutup pada 4 petang tadi.

Sementara itu di PAHANG, mangsa banjir menurun kepada 7,004 orang daripada 2,373 keluarga yang ditempatkan di 64 PPS setakat 4.30 petang berbanding 11,166 orang daripada 3,677 keluarga di 68 PPS pagi tadi. 

Menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuantan masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai, iaitu 6,225 orang di 42 PPS.

Pekan merekodkan 462 orang di 10 PPS, Jerantut (121 orang, empat PPS), Temerloh (59 orang, tiga PPS), Bera (60 orang, tiga PPS), Rompin (42 orang, satu PPS) dan Maran (35 orang, satu PPS). 

Dalam pada itu, banjir di Lipis pulih dengan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Jumlah mangsa di TERENGGANU menurun kepada 929 orang daripada 245 keluarga pada 5 petang berbanding 1,391 orang daripada 369 keluarga pagi tadi dengan semua mereka dari Kemaman.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan mangsa berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, SK Binjai dan SK Chukai.

PPS di Dungun iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor yang dibuka 17 Dis ditutup tengah hari tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan