JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Zakat MAINPP Agih RM171.53 Juta Setakat 30 Nov - Mohamad

21/12/2025 10:27 AM

GEORGE TOWN, 21 Dis (Bernama) -- Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) telah mengagihkan lebih RM171.53 juta zakat setakat 30 Nov lepas, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata jumlah itu bersamaan dengan 86 peratus daripada keseluruhan peruntukan agihan yang ditetapkan untuk tahun ini, iaitu RM199.75 juta.

“Angka itu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan dana zakat disalurkan dengan pantas dan tepat kepada mereka yang berhak.

“Ia sekali gus membuktikan ketelusan dan profesionalisme institusi zakat dalam melaksanakan amanah umat,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Kembara Zakat 2025 dan Penyerahan Sagu Hati Jawatankuasa Kariah di Masjid Al-Huda, Sungai Ara, di sini malam tadi.

Beliau juga yakin dapat mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM200 juta tahun ini, berdasarkan prestasi memberangsangkan setakat ini yang berjaya mengumpulkan RM143.45 juta, iaitu 72 peratus daripada sasaran keseluruhan hingga 30 Nov lepas.

Mohamad berkata pihaknya hanya memerlukan tambahan RM56.55 juta atau 28 peratus lagi sepanjang bulan Disember ini untuk mencapai sasaran.

“Prestasi kutipan zakat pada Disember 2024 beri petunjuk positif apabila sebanyak RM43.87 juta berjaya dikutip, kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan kutipan tahunan 2024 berjumlah RM172.86 juta,” katanya.

Dalam usaha mempergiat kutipan, beliau berkata MAINPP akan melancarkan “Kempen Zakat Sprint Month” yang menawarkan peluang kepada pembayar zakat untuk memenangi hadiah utama pakej menunaikan umrah, dengan bayaran zakat serendah RM500.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyerahkan sagu hati kepada 240 kariah di semua daerah seluruh Pulau Pinang, dengan 806 orang jawatankuasa bagi setiap kariah menerima penghargaan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM504,200.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan