JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PM Anwar Lancar 'I LITE U' Malam Ini, Pacu TMM 2026

03/01/2026 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang di sini  malam ini bagi merasmikan peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan “I LITE U” yang bermatlamat memperkukuh kelestarian bandar.

Pelancaran yang berlangsung di hadapan Pavilion Kuala Lumpur itu turut bertujuan memperkasakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Ketibaan Anwar kira-kira jam 8 malam diringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan disambut beberapa menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; beberapa timbalan menteri serta pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh yang juga Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Orang ramai daripada pelbagai kaum memenuhi sekitar Pavillion seawal jam 6 petang bagi memeriahkan pelancaran “I LITE U” itu.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tahun Melawat Malaysia 2026, diikuti persembahan kebudayaan serta tayangan video khas.

Program malam ini turut diserikan dengan perarakan besar-besaran melibatkan 16 kontinjen serta persembahan artis terkenal tempatan.

 “I LITE U” melibatkan laluan utama sepanjang hampir satu kilometer di sekitar Bukit Bintang yang bertujuan menghidupkan suasana malam bandar dengan paparan pencahayaan memukau, sekali gus menyerlahkan keindahan landskap bandar menggunakan teknologi moden dan lestari selaras dengan agenda bandar rendah karbon.

Projek itu menampilkan rekaan lampu diod pemancar cahaya (LED) berkonsepkan lampu gantung, lampu bulan serta rekaan bertema dongeng, menggunakan teknologi cekap tenaga dengan pemasangan lebih 70 lampu LED.

‘I LITE U’ ialah akronim kepada Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, mampan ke arah Urbanisasi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan