JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Bukit Bintang Dilimpahi Cahaya Berwarna-warni Sempena Festival ‘I LITE U’ malam Ini

03/01/2026 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Kawasan ikonik Bukit Bintang malam ini dilimpahi cahaya berwarna-warni menerusi pelancaran projek inovasi pencahayaan ke arah kelestarian bandar I LITE U, sekali gus memeriahkan suasana malam ibu kota menerusi paparan pencahayaan moden dan lestari.

Majlis pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang Anugerah Oscar Tan Sri Michelle Yeoh.

Acara itu menyaksikan Yeoh menyerahkan lumnious sphere kepada Anwar sebagai simbolik gimik pelancaran, sebelum Perdana Menteri dan tetamu kehormat menyaksikan persembahan dan perarakan di pekarangan Pavillion Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis itu ialah barisan jemaah menteri dan tetamu kenamaan antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.

Festival yang melibatkan laluan sepanjang hampir satu kilometer di sekitar Bukit Bintang itu menampilkan pelbagai rekaan pencahayaan kreatif termasuk lampu gantung, lampu bulan serta elemen bertema dongeng yang memukau pandangan.

Kesemua rekaan menggunakan lebih 70 unit lampu diod pemancar cahaya (LED) berteknologi cekap tenaga, menyerlahkan keindahan landskap bandar melalui penggunaan teknologi moden selaras dengan aspirasi bandar rendah karbon, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

Majlis pelancaran itu juga diserikan dengan kemeriahan perarakan bergemerlapan lampu LED berwarna-warni dan bunga api, sekali gus mencuri tumpuan pengunjung yang turut disajikan dengan persembahan muzik. 

Suasana bertambah meriah dengan iringan muzik enam pasukan brass band pelbagai agensi, persembahan flash mob Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta persembahan tarian pelbagai etnik Malaysia oleh artis budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). 

Mengetengahkan warisan budaya Malaysia, perarakan itu turut diserikan dengan karnival budaya yang menampilkan tarian singa, tarian naga, bhangra dan kompang selain kemuncak acara diserlahkan dengan perarakan I LITE U yang dimeriahkan persembahan artis jemputan Faizal Tahir di atas bas Hop On Hop Off.

Perarakan turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot pelancongan Beruang Matahari sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Wira dan Manja selain badut serta stilt walker turut menceriakan suasana.

Pengunjung tempatan dan pelancong tidak melepaskan peluang mengabadikan detik istimewa itu, menikmati keindahan rekaan lampu yang menghiasi laluan utama sekitar kawasan berkenaan.

I LITE U adalah akronim kepada Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, mampan ke arah Urbanisasi, yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan bandar pintar serta mesra alam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan