JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Autisme Tidak Halang Remaja Sambung Belajar Di Kolej Komuniti

06/01/2026 07:10 PM

IPOH, 6 Jan (Bernama) -- Menghidap autisme tidak menjadi penghalang kepada Muhammad Rahimi Mohd Rohinuddin menjadi antara 25 pelajar baharu yang diterima masuk ke Kolej Komuniti Sungai Siput (KKSS) pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi II: 2025/2026 hari ini.

Remaja berusia 20 tahun itu yang menghidap autisme tahap ringan (Mild Autism - Level 1 ASD) tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang untuk terus melangkah dalam dunia pendidikan apabila menyambung pengajian bagi Program Sijil Teknologi Automotif di kolej berkenaan.

KKSS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Muhammad Rahimi sebelum ini merupakan pelajar di Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka, namun terpaksa meneruskan pengajian di Perak berikutan perpindahan tempat kerja ibu bapanya ke Ipoh pada Disember lepas.

Perpindahan tersebut menjadi satu cabaran besar buat Muhammad Rahimi yang perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

"Walaupun saya berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dan bergaul dengan persekitaran baharu, saya tetap bersemangat dan cekal untuk meneruskan pengajian kerana saya percaya ilmu sangat penting demi masa depan yang lebih baik," katanya menerusi kenyataan itu.

KKSS memaklumkan kisah Muhammad Rahimi mencerminkan komitmen kolej itu dalam menyediakan peluang pendidikan yang inklusif, selari aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang serta cabaran individu.

Justeru, KKSS berharap kehadiran pelajar baharu pada sesi kali ini dapat menyuntik semangat dalam ekosistem pembelajaran di kolej itu dan melahirkan graduan yang berkemahiran, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran industri pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan