KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Foundation for Political, Economic and Social Research (SETA) sebuah kumpulan pemikir berpangkalan di Turkiye dan Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia, akan mewujudkan rangka kerja bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar pada masa yang sama memuji peranan kedua-dua institut tersebut, dalam membentuk wacana dasar negara di tengah-tengah persekitaran global yang semakin kompleks.
“Saya gembira bahawa SETA dan ISIS Malaysia akan menjadikan kerjasama mereka secara rasmi menerusi memorandum persefahaman yang akan ditandatangan hari ini.
“Ini berpunca daripada pengesahan bahawa pertukaran berterusan antara pembuat dasar dan ahli akademik adalah penting, terutamanya pada ketika keputusan yang dibuat akan membentuk hasil untuk beberapa tahun akan datang,” kata Perdana Menteri dalam syarahan umum bertajuk Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Turkiye, hari ini.
Anwar berada di Turkiye bagi lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata sejak penubuhannya hampir dua dekad lepas, SETA telah muncul sebagai antara kumpulan pemikir paling berpengaruh di negara itu, memberikan sumbangan signifikan dalam penjanaan idea, menguji pilihan dasar dan menujukkan laluan bagi Malaysia untuk berkembang dalam landskap strategik yang mencabar.
Dalam syarahannya, Anwar turut menekankan kemerosotan krisis kemanusiaan di Gaza dan menggambarkannya bukan lagi sekadar krisis peperangan, tetapi sebagai genosid yang dilakukan menerusi tindakan ketenteraan berterusan yang telah meruntuhkan asas-asas masyarakat.
“Puluhan ribu telah terbunuh, seluruh kejiranan dihapuskan. Bantuan kemanusiaan telah disekat secara sistematik. Kebuluran, pengusiran dan ketakutan digunakan bukan sebagai kerosakan sampingan, tetapi sebagai alat bertujuan untuk melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Cadangan, termasuk pemindahan kekal sesuatu bangsa dari tanah mereka, dibentangkan secara terbuka sebagai dasar,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata kedua-dua Malaysia dan Turkiye telah menolak untuk menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan atau tidak boleh diperbetulkan, sambil menegaskan bahawa lebih banyak perkara yang perlu dilakukan.
“Kedua-duanya (Malaysia dan Turkiye) telah bertindak, menyediakan bantuan kemanusiaan, menggerakkan tekanan diplomatik dan menuntut Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Kedua-duanya boleh melakukan lebih banyak perkara dan boleh melakukannya bersama-sama. Tugasnya adalah untuk mencegah kekejaman menjadi duluan, memastikan akses kemanusiaan kekal terbuka, memastikan genosid tidak dihalalkan atau disamarkan melalui semantik, serta menolak konsep bahawa hukuman kolektif dan pemindahan paksa boleh dianggap alat sah dalam pentadbiran sesebuah negara,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial