JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Tengku Permaisuri Selangor Rasmi Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku

08/01/2026 10:24 PM

SHAH ALAM, 8 Jan (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku malam ini, anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM. 

Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) sebagai tanda penghormatan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap Raja-Raja Melayu, yang merupakan payung kedaulatan negara. 

Penganjuran majlis itu juga berperanan memartabatkan seni puisi sebagai wahana penyampaian nilai patriotik, mengukuhkan penghargaan terhadap warisan budaya Melayu, serta memupuk rasa cinta kepada Institusi Diraja dalam kalangan generasi muda dan seluruh rakyat.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam sembah aluan berkata penganjuran majlis itu mencerminkan iltizam UiTM untuk terus memperkasakan kefahaman dan penghayatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu melalui pendekatan yang halus, berbudaya dan berteraskan ilmu.

“Sebagai sebuah universiti awam yang lahir daripada amanah sejarah, dan didukung nilai Usaha, Takwa, dan Mulia, UiTM sentiasa menjunjung tinggi Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan, tonggak kestabilan kenegaraan dan lambang perpaduan rakyat. 

“Penganjuran majlis ini bukan sekadar acara kesusasteraan, tetapi wahana kesedaran intelektual dan budaya, menzahirkan hubungan beradab, berilmu, dan bersejarah antara rakyat dengan Raja Pemerintah,” katanya.

Justeru, beliau berkata UiTM komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu dan kemahiran, tetapi juga kaya budi pekerti, memahami akar budaya, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, serta menjunjung tinggi nilai kesetiaan, tanggungjawab, dan khidmat bakti sebagai warganegara.

Beliau berkata Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM yang menjadi teras penganjuran majlis ini diwujudkan sebagai wadah keilmuan untuk mengkaji, mendokumentasi dan menyebarluaskan pengetahuan berkaitan Institusi Diraja daripada pelbagai perspektif meliputi sejarah, perlembagaan dan kebudayaan.

Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM pula berperanan memperkukuh penghayatan nilai jati diri, adab dan kebangsaan dalam kalangan warga universiti melalui pelbagai program berteraskan ilmu dan warisan. 

Pada majlis itu Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan melancarkan buku Antologi Puisi Dirgahayu Tuanku terbitan Pemuisi. 

Turut hadir Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad , Presiden Pemuisi Datuk Dr Radzuan Ibrahim @Wanrazuhar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M Yusop. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan