JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Bernama Perlu Memimpin Transformasi Media, Kekal Jadi Rujukan Utama Rakyat – KPE

09/01/2026 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu terus memimpin transformasi media dalam landskap kewartawanan yang semakin mencabar, sejajar dengan kemajuan teknologi dan perubahan corak penggunaan berita oleh audiens, kata Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Beliau berkata Bernama bukan sekadar perlu menyesuaikan diri dengan perubahan, sebaliknya mesti kekal sebagai institusi media nasional yang berwibawa dengan menyampaikan maklumat yang tepat, berimbang dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Menurut Nur-ul Afida, sedar atau tidak, landskap komunikasi awam kini semakin kompleks, terutama kepantasan penyebaran maklumat, peningkatan risiko maklumat palsu serta perubahan corak penggunaan berita menuntut pendekatan komunikasi kerajaan yang lebih strategik, sepadu dan berasaskan kepercayaan.

“Dalam konteks ini, peranan Bernama sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi bukan sahaja sebagai penyampai berita dan kandungan, sebaliknya menjadi teras utama jentera komunikasi negara yang signifikan.

“Kita perlu menampilkan komunikasi yang berkesan, sebagai contoh menjelaskan keadaan sebenar negara kepada rakyat termasuk tentang inisiatif dan insentif yang kerajaan sediakan untuk rakyat,” katanya  ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Tahun Baharu 2026 di Wisma Bernama hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Jabatan Komersil Mastura Hassan dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak.

Nur-ul Afida berkata warga Bernama adalah ‘embodiment’ yang membawa suara institusi untuk menyampaikan mesej kerajaan secara berfakta dan menjadi jambatan antara kerajaan serta rakyat.

Beliau berkata sebagai jentera komunikasi negara, Bernama perlu berfungsi dengan lebih proaktif, berpandangan jauh dan selari dengan keperluan rakyat serta aspirasi negara.

Nur-ul Afida turut meminta warga Bernama untuk terus menjadi rujukan utama yang menyampaikan dasar, inisiatif dan naratif nasional secara jelas, konsisten dan berfakta.

Dalam pada itu, Nur-ul Afida berkata 2025 adalah tahun kecemerlangan buat Bernama dengan penglibatan agensi itu dalam pelbagai program besar di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 serta liputan acara utama negara.

Selain itu, Bernama turut memperkukuh jaringan kerjasama global melalui pemeteraian memorandum persefahaman dengan beberapa agensi media asing serta melancarkan produk inovatif Bernama Mobile Studio (BMS) bagi mempertingkat keupayaan liputan luar.

Mengulas hala tuju 2026, beliau berkata pengurusan akan terus memanfaatkan AI dan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kandungan, tanpa mengabaikan etika kewartawanan serta kawalan editorial yang kukuh.

“Integriti, akauntabiliti dan profesionalisme warga Bernama mesti kekal menjadi tunjang utama dalam setiap pelaporan dan penyampaian maklumat, selaras dengan amanah sebagai jentera komunikasi negara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Bernama atas komitmen dan dedikasi sepanjang tahun lepas, sambil menyeru semua pihak untuk terus bersatu padu, berinovasi dan mengutamakan integriti demi memperkukuh reputasi organisasi pada 2026.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan