JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MTL: Operasi Hantar Lebih 17 Tan Bekalan Makanan Kepada Orang Asli Gua Musang Ditangguh

09/01/2026 03:45 PM

GUA MUSANG, 9 Jan (Bernama) -- Operasi penghantaran lebih 17 tan bekalan makanan asas oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman yang terputus jalan darat kerana rosak teruk dan berselut tebal akibat Monsun Timur Laut (MTL) terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca buruk.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM, PKB I Mohd Ruzaidi Ramlee berkata sebelum ini sebanyak 383 beg makanan seberat 6,894 kilogram telah berjaya dihantar dalam tempoh tiga hari operasi dilaksanakan.

"Kesemua beg makanan itu dihantar menggunakan helikopter jenis Mi- 17-IV ke Kampung Tendrik, Pos Bihai dan Pos Gob bermula 6 Jan hingga semalam.

"Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah memohon agar operasi terbabit ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan, disebabkan cuaca buruk," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bakul makanan itu akan dihantar ke lima perkampungan Orang Asli iaitu Pos Gob, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Bihai dan Pos Balar. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) JAKOA Saiful Zahlan Muhamad Azmi yang turut memantau operasi itu berkata penghantaran baki 573 bakul makanan akan diselaraskan bersama pihak JBPM dalam masa terdekat, namun bergantung keadaan cuaca.

"Operasi yang dirancang hingga 9 Jan terpaksa ditamatkan lebih awal berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan ia selaras dengan nasihat daripada pihak JBPM," katanya.

Beliau berkata JAKOA telah mengagihkan bakul makanan secara berperingkat kepada semua penduduk Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh serta lain-lain musibah seperti terputus hubungan, kebakaran dan kesusahan akibat serangan haiwan liar.

"Pada 2025, JAKOA telah membelanjakan hampir RM1.72 juta bagi pembekalan bakul makanan kepada rakyat yang terkesan dan terjejas akibat bencana dan musibah," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan