JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Mangsa Banjir Di Sarawak Meningkat, Sabah Menurun

09/01/2026 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus meningkat, manakala di Sabah mencatatkan penurunan setakat 4 petang ini.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak kepada 1,172 orang daripada 349 keluarga berbanding 319 orang daripada 93 keluarga pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 15 PPS yang dibuka hari ini.

Sementara itu, di SABAH, jumlah mangsa banjir menurun kepada 503 orang daripada 173 keluarga petang ini berbanding 633 orang daripada 215 keluarga pagi tadi.

JPBN Sabah memaklumkan tiga PPS masih beroperasi di Beaufort yang menempatkan penduduk dari 12 kampung, manakala semua mangsa banjir di Tawau berlindung di sebuah PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada di beberapa kawasan di Sarawak bermula hari ini hingga esok.

Hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman) dan Betong (Pusa dan Betong). 

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Kuching (Lundu), Sri Aman (Lubok Antu), Betong (Saratok & Kabong), Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan